Sentimen Terus Diancam Coronavirus, Dagangan Pound Kembali Berisiko Selepas Brexit

399

Dagangan minggu pertama Februari menyaksikan pembukaan semula pasaran kewangan China selepas cuti perayaan dilanjutkan, sementara sentimen masih dibelenggu oleh kebimbangan risiko coronavirus yang setakat ini telah mencatatkan 361 kematian dan 17,205 kes dan tercetusnya wabak selesema burung H5N1.

Pasaran saham di tanah besar China menjunam kira-kira 9% apabila dibuka pagi ini manakala matawang yuan pula didagangkan pada 6.9400 berbanding US dolar.

Dalam usaha untuk mengekang kelumpuhan ekonomi disebabkan wabak ini, Bank Pusat China (PBOC) merancang untuk menyuntik dana bernilai 1.2 trilion yuan untuk kecairan pasaran menerusi operasi perjanjian belian balik (reverse repurchase agreement) hari ini.

Sesi pasaran Asia hari ini juga turut memperlihatkan penerbitan data PMI pembuatan China hasil tinjauan Caixin yang mencatat pertumbuhan sebanyak 51.1 iaitu paling rendah dalam tempoh 5 bulan.

Ketidakpastian disebabkan risiko wabak ini terus mendorong pelabur untuk berhati-hati dengan meningkatkan permintaan matawang safe-haven.

Safe-haven yen diniagakan pada 108.54 berbanding USD setelah mencecah paras ketinggian 4 minggu pada Jumaat manakala swiss franc pula terus mengukuh pada 0.9647 berbanding US dolar.

Dolar euro didagangkan mengukuh berbanding USD pada sesi Asia selepas mencatat peningkatan sebanyak 0.6% pada minggu lalu, menandakan keuntungan pertamanya dalam tempoh lima minggu sejak dagangan 2020 bermula.

Selain itu, matawang pound diniagakan mendatar berbanding dolar USD setelah meningkat ke paras ketinggian mingguan pada Jumaat ekoran keputusan hawkish Bank of England (BoE) yang mengekalkan kadar faedah dan berlakunya Brexit.

Pada 7 pagi hari Sabtu (waktu Malaysia), Britain secara rasmi telah menamatkan keanggotaannya sebagai ahli Kesatuan Eropah (EU) dan menandakan bermulanya tempoh peralihan selama 11 bulan untuk UK-EU memulakan rundingan mengenai masa depan hubungan mereka.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat