Serba Dinamik Diberi Amaran!

810

Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) telah dimaklumkan oleh pihak Bursa Malaysia bahawa sebarang kegagalannya mematuhi arahan bursa untuk mengadakan semakan semula bebas khas adalah pelanggaran terhadap ketetapan penyenaraian di pasaran itu.

Menurut syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu, pihak bursa yang juga pengawal selia pasaran saham turut memberi peringatan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap Serba Dinamik atau para pengarahnya.

Dalam makluman kepada bursa semalam, Serba Dinamik telah disyaratkan untuk melantik satu firma perakaunan antarabangsa atau firma berkaitan dengan gabungan antarabangsa yang mempunyai sumber mencukupi bagi menjalankan semakan semula bebas menjelang 2 Julai bagi menangani kebimbangan dibangkitkan oleh KPMG PLT dalam pembentangan kepada pihak lembaga pada 3 Mei lalu.

Bernama melaporkan, Serba Dinamik perlu memastikan bahawa firma itu atau sekutunya yang dilantik, ‘wujud di Bahrain dan lokasi antarabangsa lain dengan kehadiran pelanggan serta pembekal sepertimana dibangkitkan oleh KPMG PLT pada 3 Mei lalu’.

Bursa Malaysia turut memaklumkan Serba Dinamik untuk memastikan skop semakan semula khas bebas itu adalah sebagaimana yang dipersetujui oleh jawatankuasa audit syarikat itu dan Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (E&Y) yang turut dikongsi dengan pihak Bursa Malaysia Securities pada 15 Jun lalu.

Malah menurut kenyataan Bursa Malaysia, pihaknya juga berhak untuk memperluas serta melanjutkan skop tugasan semakan semula bebas khas tersebut.

Serba Dinamik turut disyaratkan untuk membuat laporan terus kepada Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia secara berkala mengenai perkembangan semakan itu serta hasil dapatannya apabila selesai kelak.

Sebelum arahan Bursa Malaysia itu, Serba Dinamik telah mengumumkan dan mengesahkan persetujuan EY menjadi penilai bebas yang tertakluk kepada syarat, terutamanya melibatkan keperluan kerjasama KPMG PLT bagi kemudahan serta kelancaran semakan semula tersebut.

Kelmarin, Serba Dinamik menerusi kenyataannya kepada bursa berkata, EY telah menerima pelantikan tersebut bagi menyemak kesahihan dan ketepatan perkara dibangkitkan oleh KPMG PLT yang juga bekas juruaudit luar syarikat itu.

Serba Dinamik juga telah bersetuju dengan syarat ditetapkan EY bagi memastikan sesi libat urus terbabit dapat dijalankan secara bebas serta objektif demi manfaat semua pihak berkepentingan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat