Sri Lanka 2.0! Penyusutan Nilai Pound Lubnan Cetus Protes Rakyat

228

‘Takut betul situasi Sri Lanka berlaku di banyak negara, harapnya Malaysia selamat.’

Situasi di Beirut, Lubnan bertukar genting apabila rakyatnya melakukan protes selepas nilai Pound Lubnan menyusut ke paras terendah baharu berbanding dolar.

Menurut portal kadar pertukaran, nilai Pound Lubnan menurun ke 38,600 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari ini semasa dunia dilanda isu inflasi global.

Untuk rekod selama beberapa dekad ini Pound Lubnan ditambat pada 1,507 berbanding dolar, dan nilai semasa menandakan penyusutan hampir 95%.

Rentetan daripada itu, rakyat Beirut telah melakukan protes dengan menyerang bank dan menuntut akses kepada simpanan yang dibekukan.

Difahamkan protes tersebut melibatkan tahanan 2 individu bersenjata yang kemudian membawa kepada pencerobohan berpuluh orang ke Justice Palace di Beirut bagi membantah penangkapan ‘wira rakyat’ itu.

Mengeruhkan lagi keadaan apabila segelintir aktivis menyekat jalan raya di Beirut sehingga ke bandar Tripoli.

Menyingkap keadaan dalaman Lubnan, krisis ekonomi tersebut dikatakan berpunca daripada rasuah dan salah urus pihak kerajaan sehingga menyebabkan kejatuhan ada nilai Pound tersebut.

Namun menurut Saeb El-Zein iaitu seorang jurubank Lubnan pula mengatakan kemerosotan nilai Pound adalah disebabkan permintaan terhadap dolar ekoran tindakan kerajaan menarik subsidi bahan api.

Dalam pada itu, keadaan di Lubnan ini telah mendapat perhatian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) apabila seorang delegasinya difahamkan melawat Beirut untuk mengetahui situasi sebenar.

Umumnya, 4 daripada 5 rakyat Lubnan hidup dalam kemiskinan dan ia bukan sahaja mendatangkan kebimbangan kepada IMF tetapi pihak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

Apa yang pasti, tindakan perlu diambil mana-mana badan bagi memastikan kejadian Sri Lanka tidak berulang kembali.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat