Teladan Setia Buat ‘Debut’ Pasaran ACE Hari Ini

348

Teladan Setia Group Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pagi ini pada harga 60 sen, premium sebanyak 12 sen daripada harga yang ditawarkan 48 sen.

Pada pukul 9 pagi, sejumlah 32.53 juta saham syarikat pemaju hartanah tersebut telah diniagakan.

Bernama melaporkan, Teladan Setia adalah pemaju hartanah dengan portfolio pembangunan yang pelbagai, terdiri daripada hartanah kediaman bertingkat rendah dan tinggi, rumah kedai, pejabat dan kedai runcit.

Pengarah Urusannya, Richard Teo Lay Bin berkata, syarikat berkenaan berhasrat mengumpul sejumlah RM77.3 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) dengan RM35 juta (45.3%) akan diperuntukkan untuk pengambilalihan bidang tanah di Melaka pada masa akan datang.

Tambah beliau, pihaknya amat yakin dengan prospek pertumbuhan syarikat terbabit kerana industri pembangunan hartanah di Melaka disokong oleh asas jangka panjang yang kukuh.

“Masih ada yang permintaan yang kuat untuk kediaman mampu milik di Melaka dan kami menumpukan perhatian kepada hartanah kediaman bertanah kerana unit-unit ini adalah unit-unit ini adalah unit yang tidak terjual paling rendah di seluruh negara menurut angka Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

“Tahun lepas, unit tidak terjual untuk kediaman di Melaka adalah 925 unit berbanding purata kebangsaan 3,450 unit,” ujarnya pada sidang media yang diadakan secara maya hari ini.

Menurut Lay Bin, pihaknya akan membangunkan hartanah dalam lingkungan harga RM400,000 hingga RM500,000 sambil menegaskan bahawa unit-unit inilah yang paling banyak dijual.

“Pada masa ini, kami memiliki nilai pembangunan kasar berjumlah RM1.6 bilion termasuk projek yang sedang berjalan dan akan datang serta bakal bertahan untuk tempoh empat tahun lagi,” jelas beliau.

Bergerak ke hadapan, Lay Bin mengatakan langkah-langkah rangsangan oleh kerajaan seperti kadar faedah yang rendah pada 1.75% dan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan membantu pembeli membeli rumah pertama mereka.

“Oleh itu, untuk pasaran perumahan Melaka, kebanyakan pembeli adalah pembeli rumah pertama, yang merupakan segmen pengguna yang kami sasarkan,” katanya.

Mengulas mengenai rancangan untuk membina hartanah di luar Melaka, Lay Bin berkata pihaknya telah membina sebidang tanah di Seri Kembangan, Selangor dan akan menjadi projek pertama Teladan Setia di luar Melaka.

“Tanah ini akan digunakan untuk projek bertingkat tinggi. Namun, fokus utama kami adalah pada hartanah kediaman di Melaka,” ujar Lay Bin.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat