TM ‘Mengganas’ Di Bursa Malaysia

9,123

Telekom Malaysia Bhd (TM) menjadi antara saham paling untung di Bursa Malaysia semasa sesi dagangan pagi tadi selepas mencatatkan prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2021 (1QFY21) yang kukuh.

Pada 10.15 pagi, saham TM melonjak 33 sen atau 5.59% kepada RM6.23 daripada RM5.90 ketika ditutup semalam, dengan 3.86 juta saham bertukar tangan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat telekomunikasi utama itu memaklumkan keuntungan bersih meningkat sekali ganda kepada RM325.47 juta pada 1QFY21 daripada RM152.52 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2020.

Bernama melaporkan, TM menjelaskan prestasi kukuh itu didorong perolehan yang lebih tinggi di semua segmen selain perkhidmatan telekomunikasinya yang lain.

Menurut penyelidikan Maybank Investment Bank Bhd, keuntungan bersih utama TM sebanyak RM332 juta iaitu meningkat 38% tahun ke tahun adalah 30% daripada unjuran bagi tahun kewangan 2021 (FY21) oleh pihaknya serta secara konsensus.

“Unjuran keseluruhan kekal memberangsangkan dengan TM berpotensi meraih manfaat daripada persekitaran bekerja dari rumah dan pelaksanaan 5G serta pengoptimuman kos yang berterusan.

“Justeru, kami mengulangi saranan ‘beli’ dengan harga sasaran tidak berubah RM7.40,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd turut senada apabila mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas TM dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.91.

Cabang penyelidikan bank pelaburan itu berpandangan inisiatif MYDIGITAL menjadi petanda baik bagi syarikat tersebut.

“Berasaskan itu, kami menjangkakan pertumbuhan perolehan TM bagi tahun-tahun akan datang tetap teguh. Tambahan pula, kami memuji program rasionalisasi kos syarikat itu yang telah meningkatkan keberuntungannya secara ketara,” jelasnya dalam nota penyelidikan berasingan.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd menambah baik saranannya ke atas TM kepada ‘outperform’ daripada ‘neutral’, dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM6.90 daripada RM6.60.

“Sebagai penyedia pusat data domestik terbesar di Malaysia, kami yakin TM memperoleh manfaat daripada penggunaan data dan Internet yang lebih tinggi pada masa akan datang, susulan rancangan kerajaan untuk menubuhkan pusat data berskala amat besar di bawah inisiatif MyDIGITAL,” menurutnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat