Ulasan Penuh News Besar ECB, Komen Draghi Sedikit ‘Hawkish’

46

Seperti dijangka, ECB mengekalkan kesemua kadar asasnya dalam mesyuarat ECB yang terbaru dengan kadar utama di paras 0.00% dan juga kadar deposit di paras -0.40%.

Menurut kenyataan awal, bank pusat menjangkakan kadar faedah akan terus berada di paras semasa atau kurang daripada itu di masa akan datang.

ECB juga mengekalkan keputusan untuk meneruskan program pembelian bon sebanyak 80 billion euro sehingga hujung bulan ini dan diikuti dengan amaun baru 60 billion euro bermula April.

Dalam kenyataan itu juga, program pembelian bon boleh ditingkatkan dari segi saiz amaun atau tempoh yang lebih panjang jika keadaan ekonomi kurang memberangsangkan. Ini merupakan retorik sama dinyatakan oleh ECB dalam dua mesyuarat sebelum ini.

Sejurus sahaja kadar diumumkan pada pukul 8.30 malam tadi, Eur/Usd melemah dan pulih semula menjelang sidang media pukul 9.30 malam.

Ulasan Sidang Media Presiden Draghi

Dalam kenyataan awal beliau, Presiden Draghi menyatakan risiko kepada ekonomi Zon Eropah ketika ini semakin berkurangan. Draghi dilihat lebih yakin kepada pertumbuhan tetapi masih ada keraguan sama ada ini akan menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi, khususnya ketidaktentuan dalam tren gaji.

Beliau menegaskan inflasi asas masih lagi lemah. Dalam ramalan pertumbuhan ekonomi pada 2017 terdapat peningkatan dari 1.7% kepada 1.8%, 2018 pula naik 0.1% kepada 1.7% dan tiada perubahan pada 2019 di sekitar 1.7%.

Draghi juga menyatakan bank pusat tidak menggunakan lagi kenyataan di mana mereka akan ‘menggunakan semua instrumen yang ada,’ kerana ketika ini tidak ada lagi ‘sense of urgency‘ (keperluan mendesak) untuk bertindak dalam penggunaan polisi monetari. Hal ini menunjukkan kadar faedah tidak akan diturunkan lagi selepas ini.

Beliau juga menyatakan ada perbincangan dalam mesyuarat bagi menghapuskan frasa tentang ‘kadar faedah boleh diturunkan lagi’. Namun begitu, kadar faedah tetap dikekalkan berikutan objektif inflasi masih belum dicapai.

Secara keseluruhan, komen Draghi hari ini sedikit ‘hawkish‘ yang telah menyebabkan matawang Euro menguat dengan Eur/Usd melonjak dari 1.0541 kepada 1.0614 dan kini ia didagang di sekitar 1.0584.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat