USD Bangkit Sebagai Safe-Haven, Yen Bermaharajalela!

244

US dolar terus berlegar pada paras terendah walaupun ia dilihat mendapat sedikit sokongan untuk meningkat pada sesi Asia.

Kebimbangan terhadap kemelesetan tampaknya kembali mempengaruhi pasaran selepas menyaksikan terbitan data jualan runcit Amerika Syarikat yang menyuramkan pada sesi terdahulu.

Jualan runcit AS menguncup lebih parah daripada dijangkakan dengan catatan -1.1% pada Disember daripada unjuran -0.8%, dan -1.0% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Ini merupakan penurunan terpantas dalam setahun sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa ekonomi terbesar dunia itu menuju kemelesetan.

Kebimbangan ini membantu dolar greenback untuk sedikit meningkat sebagai safe-haven pada sesi New York dan Asia, dengan yen menerajui kenaikan dalam pasaran.

Yen pada mulanya melemah selepas keputusan Bank of Japan (BOJ), tetapi kembali memadamkan kerugian dengan meningkat semula berbanding kebanyakan mata wang utama termasuk US dolar.

Dalam pada itu, USD turut mendapat sokongan daripada kenyataan beberapa penggubal dasar Federal Reserve (Fed) yang menawarkan kenyataan berbaur hawkish pada sesi New York.

James Bullard mengatakan kadar faedah perlu terus meningkat untuk memastikan tekanan inflasi berkurangan, manakala Esther George pula berkata bank pusat mesti memulihkan kestabilan harga dengan mengembalikannya kepada sasaran inflasi 2%.

Pun begitu, raja mata wang itu masih terperuk di sekitar paras terendah dengan indeks dolar diniagakan pada 102.47 berbanding enam mata wang utama lain.

Mata wang euro dan pound pula sedikit susut, tetapi masih diniagakan pada sekitar paras terkuat bulanan berbanding dolar greenback.

Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand turut merosot ekoran sentimen pasaran yang menyuramkan, tetapi masih mengekalkan keuntungan di paras tertinggi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat