Angkara Cuaca Buruk, Industri Tenaga Amerika Terjejas

242

Dagangan komoditi hitam terus mengekalkan momentum pengukuhan di paras tertinggi 13 bulan pada Selasa, ketika cuaca sejuk yang melampau telah menjejaskan industri tenaga di negeri pengeluar terbesar minyak mentah di Amerika Syarikat.

Niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat didagangkan mengukuh pada $60.29 setong, dengan mencatatkan kenaikan lebih 1% pada hari ini. Sementara dagangan minyak mentah Brent pula meningkat 0.5% pada $63.63 setong.

Cuaca sejuk yang jarang berlaku di Texas itu telah mengakibatkan gangguan bekalan elektrik sehingga menyebabkan hampir 3 juta rumah dan perniagaan tanpa bekalan elektrik. Susulan itu, Presiden AS, Joe Biden mengeluarkan pengisytiharan darurat dan membuka bantuan persekutuan ke Texas.

Situasi itu juga memberi kesan buruk kepada industri tenaga di Texas, menyebabkan pengeluar minyak mentah terbesar di negara ini menutup kilang minyak dan memaksa sekatan dari operator saluran paip gas asli.

Texas menghasilkan kira-kira 4.6 juta tong minyak setiap hari dan merupakan pusat utama kepada beberapa kilang minyak petrol dan diesel terkemuka di negara ini.

Sementara itu, ketegangan terbaru di Timur Tengah nampaknya sedikit mempengaruhi dagangan minyak mentah untuk terus didagangkan positif.

Terbaru, sebuah pangkalan udara yang menempatkan pasukan tentera Amerika Syarikat di utara Iraq, telah menjadi sasaran serangan roket.

Walaupun masih tidak dapat disahkan, tetapi sebuah kumpulan Saraya Awliya al-Dam yang dipercayai mempunyai hubungan dengan Iran, mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. Pasaran kini menantikan tindakan selanjutnya oleh pentadbiran Biden susulan serangan ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat