Biden Sah Calon Presiden Demokrat Menentang Trump

221

Joe Biden secara sahnya menjadi calon utama parti Demokrat bagi merebut jawatan Presiden pada pilihan raya November ini.

Lapor BBC, Biden menerima sokongan majoriti daripada ahli parti terbabit termasuklah dua bekas Presiden, Bill Clinton dan Jimmy Carter selain bekas Setiausaha Negara, Colin Powell.

Biden dikatakan menarik nafas lega selepas kempen pilihan rayanya sebelum ini dilaporkan ‘dalam bahaya’ pada Februari lalu.

Menurut Clinton, Presiden AS, Donald Trump mencetuskan ‘kacau-bilau’ dalam pentadbiran kerajaan.

“Trump berkata kita mengetuai dunia. Kami merupakan negara ekonomi industri utama yang kadar penganggurannya meningkat tiga kali ganda.

“Pada waktu seperti ini, pentadbiran kerajaan sepatutnya menjadi pusat tindakan. Sebaliknya ia menjadi seperti sebuah pusat ribut taufan. Hanya kacau-bilau di situ,” kata Clinton ketika menyampaikan ucapan ketika konvensyen parti Demokrat semalam.

Sementara itu, Powell berkata beliau menyokong Biden kerana Biden mempunyai ciri-ciri untuk mengembalikan Amerika Syarikat seperti ‘sedia kala’.

Sebelum ini, Powell yang pernah berkhidmat di bawah Presiden George W Bush, menyifatkan Trump sebagai pembohong.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Negara, John Kerry turut menyatakan sokongannya terhadap Biden.

Beliau menegaskan Biden sangat memahami isu global dan tahu segala masalah dapat diselesaikan apabila rakyat AS bersatu.

Biden ketika ini mendahului undian pendapat orang ramai namun Trump berjaya merapatkan jurang berkenaan sejak beberapa minggu lalu.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat