BNM Umum Lantikan Dua Anggota Luar MPC

100

Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Nor Zahidi Alias dan pelantikan semula Datuk Dr Gan Wee Beng sebagai anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM untuk tempoh dua tahun, masing-masing berkuatkuasa pada 1 Januari dan 1 April.

Dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan oleh BNM, di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan dasar-dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari.

“Pelantikan mereka akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman bersama berkaitan tanggung jawab dan fungsi MPC,” ujar kenyataan terbabit seperti dilaporkan oleh Bernama.

Nor Zahidi ialah mantan ketua ekonomi di Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) dan berkelulusan Sarjana dalam bidang Dasar Ekonomi dan Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Boston University.

Sebelum bertugas di MARC, beliau merupakan Ketua Penyelidik dan Ketua Ekonomi di Alliance Merchant Bank dan Ketua Penyelidik di MCIS Zurich Insurance.

Sementara itu, Wee Beng yang merupakan anggota MPC sejak 1 April 2019 ketika ini adalah ahli lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan sebelum ini merupakan ahli lembaga di Kumpulan Wang Persaraan.

Beliau juga sebelum ini merupakan Penasihat Kanan di Jabatan Ekonomi Pihak Penguasa Kewangan Singapura dan perunding kepada Bank Dunia serta Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Menurut BNM, dengan dua pelantikan terkini itu, MPC akan dianggotai lapan ahli termasuk Gabenor, Nor Shamsiah Yunus; Timbalan Gabenor, Abdul Rasheed Ghaffour; Timbalan Gabenor, Jessica Chew Cheng Lian; Timbalan Gabenor, Marzunisham Omar; Penolong Gabenor, Norzila Abdul Aziz dan Penolong Gabenor, Dr Norhana Endut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat