Dolar Aussie Jadi Tumpuan Utama Menjelang Mesyuarat Polisi RBA

317

Pembukaan sesi Asia menyaksikan beberapa matawang utama memaparkan sedikit peningkatan sementara tumpuan utama pasaran hari ini terarah kepada keputusan mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) dan laporan ISM bukan pembuatan Amerika Syarikat.

Dolar Aussie didagangkan mengukuh menjelang mesyuarat polisi RBA pada tengah hari ini yang dijangka bakal menyaksikan kadar faedah dikekalkan pada 0.25%. Pasaran akan memberi perhatian kepada petunjuk yang akan diberikan oleh Gabenor Philip Lowe mengenai ramalan pertumbuhan ekonomi yang akan diterbitkan dalam Penyata Dasar Monetari pada Jumaat.

US dolar kembali diniagakan menyusut berbanding sekumpulan matawang utama setelah meraih keuntungan pada dagangan awal minggu berikutan ketegangan AS-China yang semakin meningkat susulan pelbagai dakwaan yang dilemparkan ke atas Beijing mengenai COVID-19.

Presiden AS Donald Trump bukan sahaja mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti kukuh bahawa COVID-19, adalah berasal daripada sebuah makmal di Wuhan, malah, turut mengancam untuk menamatkan perjanjian fasa 1 dan mengenakan tarif baru jika China gagal memenuhi komitmennya.

Walau bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang bukti dari pihak AS mengenai perihal yang sedemikian.

Kebimbangan terhadap potensi pertikaian antara AS dan China yang semakin meningkat telah mengangkat dagangan safe-haven yen untuk mencatat peningkatan berbanding beberapa matawang utama.

Matawang pound menunjukkan prestasi lebih baik berbanding US dolar menjelang rundingan perdagangan antara UK dan AS yang dilaporkan akan bermula pada hari ini dengan melibatkan 200 pegawai dari kedua-dua pihak.

Setiausaha Perdagangan Antarabangsa, Liz Truss mengatakan perjanjian transatlantik bersama AS akan membantu UK untuk memulihkan ekonomi yang telah terjejas oleh penularan wabak pandemik coronavirus.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat