DRB-Hicom Diramal ‘Menggegar’

8,158

CGS-CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan saranan ‘add’ terhadap DRB-Hicom BHD dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah sebanyak RM2.35.

Penilaian itu berdasarkan jumlah penjualan oleh Proton Holdings Bhd yang lebih baik daripada yang dijangkakan, perolehan pendapatan di Pos Malaysia Bhd dan potensi keuntungan daripada penjualan aset bank tanah dan hospitaliti sebagai pemangkin penambahbaikan yang berpotensi.

Bagaimanapun, firma berkenaan menyatakan kerugian yang ditanggung oleh Pos Malaysia, penyusutan jumlah penghantaran oleh Proton dan gangguan rantaian bekalan akibat Covid-19 merupakan risiko penurunan kepada syarikat tersebut.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, CGS-CIMB menjangkakan DRB-Hicom menjangkakan Proton akan mengekalkan momentum positif penjualannya pada suku keempat tahun 2020 berikutan pengecualian cukai jualan dan pelancaran model baharu.

“Syarikat itu telah menerima sambutan yang hangat terhadap Proton X50 dan Honda City dengan kedua-duanya menerima lebih 30,000 dan 9,000 tempahan. Proton meningkatkan pengeluaran dan menyasarkan untuk menghasilkan 3,500 hingga 4,000 unit X50 sebulan dan 2,500 hingga 3,000 unit X70 sebulan di kilangnya di Tanjung Malim pada bulan ini,” ujarnya.

Selain itu, bahagian pembuatan dan kejuruteraan automotif syarikat tersebut menjangkakan permintaan komponen yang lebih kukuh pada tahun kewangan 2021, didorong oleh penjualan yang lebih tinggi oleh Proton, Perodua dan Honda.

“Tambahan pula, DRB-Hicom telah memulakan pemasangan kenderaan pelbagai guna, Mitsubishi Xpander di Pekan, Pahang dan berusaha menghasilkan kira-kira 6,000 unit setahun,” katanya.

Ujar CGS-CIMB, transformasi Proton berada di landasan yang betul susulan sasaran syarikat pengeluar kereta nasional itu untuk mencapai 30% pasaran domestik menjelang 2027, berbanding dengan pasaran saham semasanya iaitu 21% pada Oktober lalu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat