Giliran TikTok Pula Disekat Amerika Syarikat?

269

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyekat media sosial dari China, termasuk aplikasi perkongsian video pendek paling popular di dunia, TikTok.

Kenyataan tersebut dibuat ketika ketegangan antara Amerika Syarikat dan China semakin meningkat berikutan perlaksanaan isu undang-undang keselamatan Hong Kong dan isu asal usul coronavirus.

Pompeo memberitahu bahawa pihaknya sedang menilai perkara itu dengan serius setelah ditanya mengenai sama ada Amerika Syarikat akan mempertimbangkan untuk menyekat media sosial China dalam satu temubual bersama Fox News hari ini.

Penggubal undang-undang AS sebelum ini telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan negara berhubung pengendalian data pengguna TikTok, memandangkan undang-undang China memerlukan syarikat tempatan untuk menyokong dan bekerjasama dengan kerja perisikan yang dikawal oleh Parti Komunis China.

TikTok, aplikasi yang dimiliki oleh ByteDance yang berpangkalan di China, baru-baru ini telah disenarai hitamkan di India bersama dengan 58 aplikasi lain sebagai tindakan balas ke atas pertikaian di sempadan Himalaya.

India merupakan salah satu pasaran terbesar bagi TikTok, di mana ByteDance meramalkan pendapatan iklan di negara itu boleh mencecah sehingga $1 bilion pada tahun ini.

Sementara itu dalam laporan berasingan, TikTok telah mengumumkan untuk keluar daripada pasaran Hong Kong setelah China menetapkan undang-undang keselamatan baru di wilayah itu.

Ini adalah susulan keengganan TikTok untuk berkongsi data pengguna dengan kerajaan China seperti yang dituntut oleh negara itu sebelum ini. Dengan perlaksanaan undang-undang tersebut, pihak berkuasa Beijing bertanggungjawab ke atas isu-isu keselamatan di Hong Kong.

Anda mungkin juga berminat