Harapan Cerah Buat Ekonomi Malaysia!

917

Pertumbuhan ekonomi negara diunjur meningkat semula pada separuh kedua tahun ini susulan impak pengembangan strategi fiskal dan monetari.

Menurut Public Investment Bank Bhd, sentimen keseluruhan akan dipacu oleh usaha vaksinasi yang giat dijalankan dan membolehkan negara mencapai sasaran imuniti berkelompok menjelang akhir tahun ini.

“Usaha tersebut boleh mendorong pemulihan dalam sektor-sektor sensitif seperti pelancongan dan perkhidmatan selain menjana pengeluaran berterusan bagi sektor utama seperti pmbuatan, pembinaan dan pertanian berikutan keputusan membenarkan operasi dikekalkan,” kata firma itu menerusi nota penyelidikannya hari ini.

Ujar bank pelaburan berkenaan seperti dilaporkan oleh Bernama, sebanyak enam program rangsangan fiskal Covid-19 yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan nilai melebihi 20% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM340 bilion, akan turut mendorong peningkatan ketara output, sekali gus berpotensi memacu ekonomi ke tahap sebelum krisis.

Tambah Public Bank Investment, pertumbuhan ekonomi akan juga disokong oleh persekitaran kadar faedah akomodatif ketika pemulihan inflasi yang dipacu oleh lebih banyak faktor pendorong kos terutamanya minyak.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75%, satu keputusan yang sejajar dengan jangkaan bank serta pasaran.

OPR turut telah dibiarkan stabil sejak September tahun lalu yang didorong oleh faktor seperti enam pakej rangsangan fiskal Covid-19 yang dilaksanakan sepenuhnya pada tahun ini serta dijangka membeli limpahan impak positif ke atas ekonomi.

Menurut Public Bank Investment, pemacu pertumbuhan lain berkemungkinan menerusi kewujudan sekurang-kurangnya 500,000 pekerjaan melalui inisiatif swasta-awam yang dapat melonjakkan pendapatan serta perbelanjaan.

“Strategi bank pusat yang berteraskan data susulan impak rangsangan perbelanjaan dan persekitaran kadar faedah akomodatif, dijangka menyaksikan OPR kekal stabil dalam separuh pertama tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, bank pelaburan tersebut mengingatkan bahawa risiko penurunan berkemungkinan disebabkan oleh cabaran usaha vaksinasi berikutan hanya kira-kira 30% rakyat yang mendapatkan suntikan berkenaan setakat ini.

“Selain itu, rundingan dagangan akan datang Amerika Syarikat (AS)-China juga menjadi antara kebimbangan kerana melibatkan tempoh lebih lama berikutan penangguhannya,” jelasnya.

Sementara itu, AmBank Research berkata, OPR dijangka kekal pada paras semasa sepanjang 2021 walaupun terdapat kemungkinan sebanyak 10-20% untuk semakan naik melibatkan 25 mata asas pada separuh kedua tahun ini.

“Pada masa ini, tiada sebarang keperluan mendesak untuk BNM mengubah kadar sedia ada. Petunjuk ekonomi juga memaparkan momentum prestasi ekonomi yang bertambah baik,” katanya.

Menurutnya, walaupun inflasi dijangka meningkat pada suku kedua 2021 namun akan kembali stabil pada tempoh selepas itu.

“Kenaikan ini terutamanya disumbangkan oleh aspek kos. Inflasi diunjur sekitar 3.0%-3.5% dengan KDNK bagi 2021 dijangka sekitar 6.0% dengan penurunan pada 5.0% dan meningkat pada 7.0%,” katanya.

Sementara itu, Moody’s Analytics pula berkata, di sebalik pelaksanaan program vaksinasi itu, masih terdapat risiko penurunan susulan ancaman penularan baharu Covid-19 dan pelaksanaan semula sekatan pergerakan lebih meluas yang boleh menjejaskan usaha pemulihan ekonomi negara.

“Keengganan menerima vaksin itu jika tidak ditangani dengan sewajarnya, boleh menjejaskan keyakinan serta imuniti berkelompok yang disasarkan,” jelasnya dalam nota penyelidikan.

Malah, ujarnya, lonjakan hasil Perbendaharaan AS baru-baru ini juga memberi kesan berganda ke atas ekonomi negara sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.

Menurutnya, peningkatan hasil bon berkenaan boleh mencetuskan jualan besar-besaran di pasaran sedang pesat membangun selain menjejaskan kestabilan kewangan Malaysia.

“Atas faktor ini, ruang bagi perubahan dasar monetari adalah terhad. BNM perlu mengambil kira risiko ketidakstabilan kewangan serta pemulihan ekonomi yang tidak lancar.

“Oleh itu, bank pusat terbabit dijangka mengekalkan pendirian akomodatif tersebut sehingga akhir tahun ini dan pada masa sama mungkin beralih kepada pendekatan bersasar lain untuk merancakkan ekonomi,” katanya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat