Dagangan emas kukuh pada paras tertinggi dua minggu pada hari Khamis, disokong oleh prospek langkah-langkah rangsangan fiskal Amerika Syarikat yang meningkatkan daya tarikan terhadap logam kuning sebagai lindung nilai kepada inflasi.
Spot emas didagangkan menguat di sekitar paras harga $1,872 per auns menjelang pembukaan sesi Eropah (2.25 petang waktu Malaysia).
Pentadbiran Presiden Joe Biden telah berjanji akan melancarkan rancangan pakej rangsangan besar-besaran yang merangkumi pembayaran cek $1,400 untuk rakyat Amerika dan kenaikan gaji minimum persekutuan menjadi $15 sejam.
Selepas upacara mengangkat sumpah, Biden telah menandatangani 15 perintah eksekutif pada hari pertama beliau yang meliputi krisis Covid-19, perubahan iklim, imigrasi dan isu-isu lain.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding kebanyakan matawang utama diniagakan lemah pada 90.25.
Dalam pada itu, Biden juga merancang untuk kembali bekerja dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan akan menghantar pakar penyakit berjangkit kerajaan untuk bertemu dengan badan itu minggu ini.