Ini Reaksi USD Susulan Data KDNK AS!

206

US dolar kekal berlegar pada sekitar paras terendah setelah menempuh sesi dagangan yang tidak menentu susulan terbitan data ekonomi Amerika Syarikat.

Pada sesi Asia, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan mata wang utama diniagakan rendah pada sekitar harga 101.75.

Raja mata wang itu pada mulanya menguat pada pembukaan sesi New York setelah menyaksikan bacaan keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS yang lebih kukuh daripada dijangkakan.

Ekonomi AS tanpa dijangka berkembang 2.9% pada suku keempat melebihi jangkaan untuk meningkat 2.6%, tetapi lebih perlahan daripada 3.2% yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Pun begitu, greenback tergelincir semula menuju akhir dagangan sesi sebelum ini, membawanya kembali lemah di paras terendah 8 bulan berbanding pesaing utama.

Selain itu, data berasingan menunjukkan jumlah tuntutan pengangguran menurun kepada 186,000 pada minggu lalu, lebih baik daripada jangkaan untuk meningkat 203,000 dan berkurangan daripada 192,000 pada minggu sebelumnya.

Bacaan data Amerika Syarikat keseluruhannya lebih baik daripada dijangkakan, dengan pesanan barangan tahan lama juga berkembang 5.6% pada bulan Disember.

Namun, jangkaan untuk kenaikan kadar faedah yang perlahan daripada Federal Reserve (Fed) terus membenam US dolar di paras terlemah.

Di sisi lain, mata wang euro dan pound kekal didagangkan sekitar harga yang sama walaupun berlaku turun naik harga yang tidak menentu pada sesi terdahulu.

Dolar Aussie, New Zealand dan Kanada juga terus menguat pada paras ketinggian bulanan menuju penghujung minggu.

Terbitan data perbelanjaan pengguna peribadi (PCE) teras pada sesi New York kini menjadi tumpuan pelabur seterusnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat