SC Malaysia Tubuhkan Pasukan Khas Untuk Perangi ‘Scammer’

316

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menubuhkan pasukan petugas dalaman untuk memberi tumpuan kepada penyiasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang terbabit dalam kes penipuan berbentuk kewangan.

Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar berkata, pihaknya telah memantau peningkatan dalam kes sedemikian dan telah menerima 370 aduan serta pertanyaan tentang skim pelaburan haram sehingga akhir bulan lalu, berbanding 317 pada tahun lalu.

Ujarnya, kes penipuan seperti ini sering kali menjanjikan pulangan yang terlalu tinggi atau tiada risiko.

Tambah Zaid lagi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM telah melaporkan rakyat Malaysia kerugian sejumlah RM769 juta kepada ‘sang penipu’ sejak tiga tahun lalu.

“Laporan itu juga memperincikan bahawa jenayah penipuan atas talian merupakan paling berleluasa berbanding jenayah penipuan lain,” katanya.

Paling mengejutkan, beliau berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, rakyat Malaysia kerugian sejumlah RM914 juta kerana terpedaya dengan penjenayah.

Zaid turut memaklumkan sejak akhir-akhir ini wujudnya jenayah penipuan klon firma. Penjenayah akan menyamar sebagai entiti yang berdaftar secara sah bagi meyakinkan orang ramai bahawa mereka melabur dengan entiti yang berlesen.

Selain itu, beliau juga menekankan penjenayah akan menggunakan laman media sosial seperti WhatsApp dan Facebook untuk mempromosikan skim mereka.

“Para pelabur yang menerima tawaran peluang pelaburan melalui WhatsApp atau Facebook perlu berhati-hati.

Saya ingin menasihatkan para pelabur agar mengesahkan terlebih dahulu status individu atau entiti terbabit dengan SC sebelum membuat sebarang pelaburan dalam skim-skim tertentu,” tegasnya.

Jelas beliau lagi, pihaknya percaya kes penipuan kerap berlaku disebabkan oleh sebahagian para pelabur mempunyai jangkaan pulangan pelaburan yang tidak realistik.

“Tinjauan kami pada awal tahun ini menunjukkan majoriti pelabur mempunyai jangkaan yang tidak realistik iaitu mahu mendapatkan 24% hingga 30% pulangan setahun untuk pelaburan mereka.

“Ingatlah jika cadangan pelaburan terlalu bagus, berkemungkinan ia adalah satu penipuan,” katanya seperti dipetik oleh The Edge.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat