Separuh Tenaga Buruh Akan Digantikan Dengan Robot Menjelang 2025

371

Separuh daripada semua tugas kerja akan dikendalikan oleh mesin menjelang 2025, menurut ramalan dalam laporan yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF).

WEF memaklumkan satu pertiga kerja di seluruh dunia kini dikendalikan oleh mesin manakala manusia melakukan yang selebihnya namun menjelang 2025, jumlah itu akan berubah.

Pertubuhan itu menyatakan revolusi robot akan mewujudkan 97 juta peluang pekerjaan seluruh dunia tetapi juga akan ‘menghilangkan’ tenaga kerja manusia dalam jumlah yang banyak dan akan menyebabkan beberapa komuniti berisiko.

Tambah WEF, kerja rutin atau manual dalam bidang pentadbiran serta pemprosesan data paling berisiko diancam oleh teknologi automasi.

Laporan terbaharu itu melibatkan kaji selidik membabitkan 300 syarikat terbesar dunia, yang ada di antaranya mempunyai 8 juta orang pekerja di seluruh dunia.

Lebih daripada 50% majikan yang dikaji selidik menyatakan mereka berharap dapat mempercepatkan automasi untuk beberapa peranan dalam syarikat manakala 43% lagi cenderung untuk membuang pekerja kerana teknologi.

Ujar WEF, kesan pandemik telah mempercepatkan proses penerapan teknologi baharu ketika firma-firma sedang cuba mengurangkan kos dan menerapkan kaedah kerja yang baharu.

Pengarah Urusan WEF, Saadia Zahidi memberi isyarat bahawa perkara-perkara itu menambahkan isu ketaksamaan yang wujud dalam pasaran buruh dan telah menjejaskan prestasi sektor pekerjaan sejak krisis kewangan global 2007-2008.

“Isu itu turut mencetuskan satu lagi senario gangguan yang wujud terhadap golongan pekerja dalam situasi sukar sekarang,” ujarnya.

Peranan kerja yang memerlukan kemahiran manusia seperti memberi nasihat, membuat keputusan, mencari sebab, berkomunikasi dan berinteraksi akan mendapat permintaan yang tinggi.

Namun WEF menyatakan jutaan kerja rutin atau manual akan digantikan dengan teknologi, sekali gus memberi kesan kepada pekerja yang kurang berkemahiran dan menerima gaji yang rendah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat