Tengok! UK Pun Tak Yakin Kesepakatan Brexit Boleh Tercapai

212

Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum berakhirnya tempoh peralihan, UK dan Kesatuan Eropah (EU) masih menemui jalan buntu dalam rundingan untuk menentukan masa depan perdagangan antara dua pihak selepas Brexit.

Pegawai kanan di pejabat Perdana Menteri UK Boris Johnson berpandangan hanya terdapat 30%-40% peluang bahawa perjanjian perdagangan Brexit akan dapat dicapai berikutan kebuntuan dalam isu peraturan bantuan negara, lapor The Times.

Tambah The Times lagi, keinginan UK untuk menggunakan bantuan negara bagi membangunkan sektor teknologi bererti bahawa pentadbiran PM Johnson tidak bersedia untuk berunding mengenainya.

Bantuan negara adalah bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat atau organisasi lain yang berpotensi boleh mengganggu pasaran. Di bawah peraturan EU, pemerintah negara anggota dibolehkan memberikan bantuan negara hanya dengan persetujuan Suruhanjaya Eropah.

Dengan keluarnya UK dari EU, ia bermaksud negara itu tidak lagi terikat dengan peraturan bantuan negara EU secara rasmi. Apa yang menjadi kebimbangan EU kini adalah UK akan menggunakan Brexit sebagai peluang untuk melemahkan pasaran tunggal dengan memberikan keuntungan tidak adil kepada syarikatnya.

Pada Selasa, ketua perunding EU Brexit Michel Barnier menuduh UK bahawa negara itu hanya ingin mendapatkan keuntungan daripada EU dan pasaran tunggal tanpa terikat dengan apa-apa komitmen.

Dalam pada itu, rundingan yang seterusnya mengenai perjanjian ini dilaporkan akan disambung semula di London pada minggu depan. Kedua-dua pihak setakat ini masih menemui jalan buntu walaupun masing-masing menyatakan bersedia untuk berkompromi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat