Emas menjunam ke paras terendah 4 bulan berikutan selera risiko yang terus meningkat susulan penerbitan data ekonomi AS yang positif dan laporan mengenai Presiden Donald Trump yang akhirnya membenarkan peralihan secara rasmi untuk pentadbiran Joe Biden mengambil alih White House.
Langkah itu, yang diambil 20 hari selepas pilihan raya presiden AS, dijangka akan menghapuskan beberapa ketidakpastian mengenai politik negara itu yang membebankan para pelabur.
Harga emas sebelum ini telah menerima tekanan susulan lonjakan drastik matawang US dolar yang dipacu oleh data PMI pembuatan dan perkhidmatan AS yang lebih kuat daripada dijangkakan pasaran walaupun berdepan ancaman peningkatan kes Covid-19.
Pada Isnin, IHS Markit melaporkan bahawa indeks PMI pembuatan AS meningkat pada 56.7 pada bulan November daripada 53.4 yang dicatatkan sebelum ini, menunjukkan sentimen dalam sektor pembuatan berada pada tahap tertinggi dalam tempoh lebih enam tahun.
Sementara itu, sektor perkhidmatan AS pula mencatatkan peningkat pada 57.7 daripada 56.9 pada bulan sebelumnya, memperlihatkan sentimen di tahap tertinggi dalam tempoh lebih lima tahun.
Logam berharga itu didagangkan rendah pada $1,824 per auns, menghampiri paras sokongan pada $1,800. Sementara niaga hadapan emas pula susut pada $1,820 per auns (12.30 tengahhari waktu Malaysia).