Top Glove Tawarkan 9,000 Peluang Pekerjaan Kepada Rakyat Malaysia

549

Berita baik untuk mereka yang sedang mencari pekerjaan apabila Top Glove Corporation Bhd menawarkan sebanyak 9,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan sepanjang tahun ini bagi membantu menangani masalah pengangguran di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini seperti dipetik oleh Bernama, syarikat tersebut berharap dapat mencapai sasaran tersebut menerusi kempen pengambilan pekerja selama setahun yang dimulakan dengan Pameran Kerjaya Top Glove Secara Maya esok.

“Program itu bertujuan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang baharu tamat pengajian universiti, institusi vokasional selain pekerja am di Malaysia.

“Ini membabitkan sebanyak 4,000 jawatan untuk pekerja tempatan; 2,300 jawatan untuk lulusan baharu universiti dan vokasional teknologi; 2,000 pelatih latihan industri dan pelatih serta 700 pekerja yang berpengalaman, ” kata kenyataan tersebut.

Menurut Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow, program tersebut diharap dapat membantu mereka yang sedang mencari kerja untuk mendapatkan kerjaya yang memberi manfaat.

“Kami memahami bahawa ramai calon yang berbakat dan berkebolehan telah kehilangan kerja ekoran impak pandemik yang sedang berlaku.

“Kami juga berbangga dapat membantu serta menyokong rakyat Malaysia dengan menawarkan pekerjaan ini yang turut menjadi antara usaha penting bagi membolehkan ekonomi dan sosial negara kembali pulih daripada pandemik ini,” ujarnya.

Pandemik Covid-19 memberi ‘tuah’ kepada Top Glove berikutan syarikat itu mengalami pertumbuhan yang luar biasa susulan lonjakan permintaan sarung tangan yang tinggi di peringkat global.

Untuk tahun kewangan penuh 2020, Top Glove mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.87 bilion berbanding RM364.68 juta sebelum ini, manakala pendapatannya melonjak kepada RM7.24 bilion daripada RM4.8 bilion pada 2019.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat