Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Rizab Persekutuan Amerika Syarikat kini berada dalam fasa pemerhatian kritikal untuk menentukan sama ada lonjakan harga minyak mentah akibat konflik Iran akan membawa kepada inflasi yang berterusan (persistent) atau sekadar gangguan sementara. Para penggubal the Fed menyatakan kesediaan untuk mengekalkan kadar faedah sedia ada jika kenaikan kos hanya tertumpu kepada harga petrol, namun kebimbangan timbul jika tekanan harga mula merebak ke sektor barangan dan perkhidmatan lain.
Pakar ekonomi memberi amaran bahawa sejarah pandemik membuktikan kejutan bekalan boleh menyebabkan inflasi yang lama. Dengan sasaran inflasi 2% yang gagal dicapai selama lima tahun, ditambah pula dengan kesan tarif import dan krisis tenaga semasa, kreadibiliti Fed dalam menstabilkan jangkaan harga jangka panjang kini dipersoalkan. Kebanyakkan penganalisis percaya Fed akan mengekalkan status quo pada mesyuarat hari Khamis ini.
Satu faktor unik yang diperhatikan ialah penggunaan pemulangan cukai (tax refunds) oleh pengguna. Walaupun pemulangan cukai meningkat 20%, kira-kira satu pertiga daripada dana tersebut habis digunakan hanya untuk membayar kos petrol harian. Keadaan ini mengurangkan kesan rangsangan ekonomi yang diharapkan, sekaligus membantutkan pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang merupakan nadi utama ekonomi AS.
Walaupun pasaran mula melupakan jangkaan pemotongan kadar faedah tahun ini, sesetengah ahli ekonomi seperti Luke Tilley meramalkan tiga pemotongan kadar faedah mungkin bermula seawal Julai. Hujah beliau adalah kos tenaga yang melambung tinggi akhirnya akan “membunuh” permintaan pengguna. Apabila pengguna mengurangkan perbelanjaan, firma akan terpaksa berhenti menaikkan harga untuk mengekalkan pasaran, yang secara tidak langsung akan menurunkan kadar inflasi.
Mesyuarat minggu ini berkemungkinan menjadi tugas terakhir Jerome Powell sebagai Pengerusi Fed sebelum tempohnya tamat pada 15 Mei. Laluan penggantinya, Kevin Warsh, kini semakin jelas selepas Jabatan Keadilan menggugurkan siasatan jenayah terhadap Powell. Powell dijangka akan mengekalkan fleksibiliti dasar yang maksimum bagi memudahkan peralihan kuasa kepada Warsh dalam persekitaran ekonomi yang sangat mencabar ini.























































