Aktiviti Ekonomi Australia Akan Menguncup? – Teliti Minit Mesyuarat RBA

498

Reserve Bank of Australia (RBA) hari ni menerbitkan laporan minit mesyuarat kecemasannya pada 18 Mac lalu, di mana ia telah menurunkan kadar faedah untuk kali kedua dalam tempoh satu bulan kepada rekod paras terendah terbaru 0.25%.

Berikutan daripada kesan pandemik coronavirus terhadap ekonomi masih tinggi, bank pusat menyatakan bahawa kadar faedah tidak akan ditingkatkan buat masa ini sehingga terdapat kemajuan dalam usaha mencapai sasaran pekerjaan penuh dan inflasi.

Ahli mesyuarat turut memberi isyarat mengenai kemungkinan kadar faedah tidak akan dikurangkan kerana dengan pemotongan ini, ia akan memberi kesan negatif kepada sesetengah pihak yang tidak mempunyai pinjaman dan peniaga yang cuba memperoleh faedah.

Malah, pembuat dasar juga menyatakan bahawa penurunan sehingga kadar faedah menjadi negatif adalah bukan pilihan mereka.

RBA tidak dapat meramalkan secara tepat mengenai pertumbuhan ekonomi pada suku kedua dan ketiga tahun ini, memandangkan penularan COVID-19 telah mempengaruhi bank pusat itu untuk membuat unjuran.

Namun begitu, bank pusat memberi amaran bahawa Australia akan mengalami penguncupan dalam aktiviti ekonomi, di mana ia akan menjejaskan suku kedua tahun ini atau mungkin lebih lama lagi.

Selain itu, RBA juga menjangkakan lebih banyak pekerjaan akan hilang dalam beberapa bulan akan datang, tetapi terdapat beberapa sektor pekerjaan yang bakal memperlihatkan pertumbuhan positif terutamanya yang terlibat dalam rantaian bekalan runcit dan perkhidmatan penghantaran.

Secara keseluruhannya, ahli-ahli RBA menyokong tindakan balas polisi yang diambil untuk menangani kesan COVID-19 terhadap ekonomi, dan menyifatkannya sebagai pakej yang komprehensif.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat