China, Rusia Bergabung Bina Stesen Di Bulan

193

China dan Rusia mengumumkan rancangan untuk membina stesen angkasa mereka yang tersendiri di Bulan.

Agensi angkasa Rusia, Roscosmos memaklumkan telah menandatangani perjanjian dengan Pentadbiran Angkasa Nasional China untuk membangunkan fasiliti penyelidikan di permukaan Bulan, di orbit atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan daripada kedua-dua agensi angkasa berkenaan, stesen tersebut boleh digunakan oleh negara lain juga.

Stesen yang diberi nama International Scientific Lunar Station itu akan menjalankan pelbagai penyelidikan termasuklah penerokaan Bulan.

“China dan Rusia akan menggunakan pengalaman mereka dalam sains angkasa, penyelidikan dan pembangunan serta penggunaan peralatan angkasa dan teknologi angkasa untuk bersama-sama membangunkan stesen penyelidikan saintifik bulan antarabangsa,” kata kenyataan Pentadbiran Angkasa Nasional China.

Tambah kenyataan terbabit, Rusia dan China akan bekerjasama dalam perancangan, reka bentuk, pembangunan dan operasi stesen itu.

Ujar penganalisis yang pakar dalam program angkasa China, Chen Lan, projek itu merupakan sesuatu yang besar.

“Ini merupakan projek kerjasama angkasa antarabangsa yang terbesar untuk China, jadi ini sangat penting,” jelasnya.

Disember lalu, China berjaya membawa balik batu dan ‘tanah’ yang diambil dari Bulan menerusi misi angkasa Chang’e-5. Kejayaan itu jelas menunjukkan keupayaan China dalam bidang angkasa.

Rusia pula pada tahun lalu telah kehilangan monopolinya dalam membawa angkasawan negara itu ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berikutan kejayaan pelancaran roket SpaceX milik Elon Musk.

Amerika Syarikat (AS) telah mengumumkan pelan untuk membawa angkasawan ke Bulan pada 2024.

Program berkenaan yang dikenali sebagai Artemis akan menyaksikan pendaratan wanita yang pertama di Bulan sejak 1972.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat