COVID-19 : Ekonomi Seluruh Dunia Sedang Kritikal

1,583

Ekonomi global kini telah berada dalam kemelesetan disebabkan aktiviti ekonomi yang terjejas ekoran penularan wabak pandemik coronavirus yang semakin meluas di seluruh dunia.

Berdasarkan hasil tinjauan oleh Reuters, lebih tiga perempat daripada ahli ekonomi dari Amerika dan Eropah bersetuju bahawa perkembangan dalam ekonomi global semasa sudah terhenti.

Bukan itu sahaja, malah lebih ramai penganalisis kini telah menurunkan unjuran mereka terhadap prospek pertumbuhan global sejak bulan lalu dan ramalan mengenai kebarangkalian kemelesetan di kebanyakan negara ekonomi utama dunia juga semakin meningkat.

Hal ini adalah susulan daripada kejatuhan drastik dalam pasaran kewangan dan minyak global walaupun dengan pelbagai langkah rangsangan yang dilancarkan oleh bank pusat di seluruh dunia.

Ekonomi global diunjurkan untuk meningkat 1.6% pada tahun ini, iaitu kira-kira separuh daripada 3.1% pertumbuhan yang diramalkan pada Januari lalu, menurut Reuters. Unjuran ini merupakan antara yang paling lemah sejak krisis kewangan 2007-2009.

Susulan daripada itu, jangkaan terhadap kemelesetan di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia juga semakin meningkat.

Menurut tinjauan Reuters yang diambil selepas pemotongan kecemasan kedua Federal Reserve AS baru-baru ini, kebarangkalian kemelesetan Amerika Syarikat melonjak ke 80% menjelang 12 bulan akan datang berbanding 30% daripada tinjauan yang dibuat dua minggu lalu.

Ekonomi Jepun, yang menguncup secara mendadak menjelang akhir tahun 2019, dijangka berkembang hanya 0.1% pada tahun fiskal yang bermula April, berbanding 0.5% yang diunjurkan sebelum ini.

Rentetan daripada kes yang semakin meningkat di Eropah, terutama Itali yang kini mencatatkan kematian melebihi angka direkodkan di China, ia telah meningkatkan risiko kemelesetan di Zon Eropah sebanyak dua kali ganda.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat