Google Tandatangani Perjanjian Pelesenan Dengan AFP

200

Revolusi Perancis kali ini dipacu oleh Agence France-Presse.

Alphabet Inc, syarikat milik Google, akan membayar segala kandungan beritanya kepada Agence France-Presse (AFP) sebagai sebahagian perjanjian perkongsian 5 tahun yang telah diumumkan pada Rabu, 17 November.

Ia menandakan satu perjanjian pelesenan terbesar yang dicapai oleh syarikat gergasi teknologi tersebut di bawah undang-undang baharu Perancis.

Menyusuri kisah sebelum ini, organisasi berita telah mengadu selama bertahun-tahun mengenai syarikat-syarikat teknologi seperti Google dan Facebook yang telah menggunakan cerita hasil carian atau ciri lain tanpa bayaran sehingga menyebabkan organisasi tersebut kehilangan pendapatan iklan mereka.

Hasil melobi pihak media dan desakan awam yang berterusan, Perancis dan Australia telah memperkenalkan undang-undang baharu yang memberi kelebihan kepada penerbit berkenaan pelesenan di seluruh dunia yang bernilai berbilion dolar secara kolektif.

Perjanjian tersebut dibuat susulan penggubalan undang-undang mengenai hak cipta bagi mewujudkan ‘neighbouring rights‘ oleh Perancis, yang memerlukan syarikat-syarikat teknologi besar untuk membuat rundingan dengan penerbit berita yang mahukan bayaran pelesenan terlebih dahulu.

Setakat ini pihak Google masih belum mendedahkan syarat kewangan perjanjian tersebut, namun telah mengesahkan tempoh perjanjian tersebut berlangsung selama 5 tahun.

Menurut sumber dari Reuters, awal tahun ini Google telah bersetuju untuk membayar US$76 juta atau RM317.57 juta selama 3 tahun kepada 121 penerbit berita Perancis tidak termasuk AFP. Namun, perjanjian tersebut terbantut dek kerana penantian keputusan prosiding antitrust yang mana Google telah dituduh gagal berunding secara telus dengan beberapa pengawal selia persaingan Perancis.

Dalam pada itu, pengarah urusan Google di Perancis, Sebastien Missoffe, menyatakan perjanjian bersama AFP tersebut menunjukkan syarikat berkenaan bersedia mencari persefahaman bersama dengan para penerbit.

Walau bagaimanapun, perjanjian tersebut tidak membawa AFP menyertai News Showcase milik Google yang mempromosikan kandungan lebih 1,000 penerbit yang bersetuju untuk melesenkan kandungan dengan bayaran yang merangkumi syarikat terkemuka dunia seperi Reuters dan Wall Street Journal.

Selain itu, Facebook pada bulan lalu telah menandatangani perjanjian neighbouring rights bersama pakatan Perancis termasuk berpuluh-puluh penerbit seperti Le Figaro .

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat