Ini Kisah Pelajar Perubatan Yang Mengasaskan Firma Pelaburan Global

349

Sebut sahaja tentang bidang perubatan, pasti terbayang bagaimana suasana kesibukan yang terjadi di hospital. Begitu juga dengan para pelajar yang menceburi bidang berkenaan yang dianggap ‘tough’.

Kebanyakan masa dihabiskan dengan menelaah buku-buku perubatan dan mengulang kaji bersama rakan-rakan. Namun, apa yang dilakukan oleh salah seorang pelajar perubatan di Amerika Syarikat ini sangat mengejutkan!

Thessalus Capital merupakan salah sebuah firma pelaburan yang terkemuka di Wall Street dan ianya diasaskan oleh seorang pelajar perubatan di Case Western Medical School, Ohio dan graduan dalam bidang biologi molekul dari Universiti Princeton.

Mitchell Ng yang kini berusia 22 tahun tidak menjadikan pengajiannya di universiti sebagai halangan untuk beliau mencipta nama dalam dunia pelaburan. Hakikatnya, minat beliau terhadap pelaburan mula timbul sejak beliau menjalani latihan praktikal di salah sebuah bank pelaburan kesihatan, Fergahana Partners.

Menurut pemerhatiannya, beliau berpendapat bahawa sektor penjagaan kesihatan akan berkembang dengan pesat. Ianya telah mencatatkan perkembangan sebanyak 292% sejak 5 tahun yang lalu.

Oleh yang demikian, Ng telah memutuskan untuk menubuhkan Thessalus Capital. Sebuah firma pelaburan yang menfokuskan kepada sektor penjagaan kesihatan, teknologi dan ekuiti tenaga.

Uniknya, firma tersebut dikendalikan bersama para pelajar dari sekolah elit seperti Princeton, Yale dan Duke. Mitchell Ng turut melibatkan abangnya dalam Thessalus Capital, Kenneth Ng yang merupakan pelajar perubatan di SUNY Downstate College of Medicine, New York, dan berkelulusan dalam biokimia dari New York University.

Selain itu, tujuan penubuhan firma tersebut ialah untuk mendedahkan para mahasiswa tentang kemahiran atau perspektif sebenar dalam pelaburan. Pada peringkat awal penubuhannya, Thessalus Capital memperoleh modal sebanyak $350,000 pada tahun 2014. Modal tersebut diperuntukkan oleh ahli keluarga dan kenalan rapat Ng.

Pada tahun 2016, pemuda yang berwawasan tinggi ini telah berjaya menjana keuntungan sebanyak 44% apabila S&P500 mencatatkan penurunan daripada 9% dan pulangan kumulatif yang direkodkan ialah sebanyak 62% sejak 2 tahun penubuhannya. Di samping itu, firma tersebut mencatatkan peningkatan lebih daripada $3 juta aset di bawah pengurusannya.

Benarlah kata pepatah yang menyebutkan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Meskipun masih bergelar pelajar, tapi beliau berjaya membuktikan bahawa dunia pelaburan tidak dikhususkan untuk golongan dewasa sahaja. Kisah inspirasi Mitchell Ng ini boleh dijadikan pengajaran buat anda.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat