Janet Yellen Minta Didengari! Naikkan Siling Hutang Untuk Selamatkan Amerika

422

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Janet Yellen sekali lagi memberi amaran mengenai isu siling hutang (debt ceiling) yang masih belum mencapai kesepakatan.

Menjelang tarikh akhir 1 Jun, Yellen memberitahu bahawa kegagalan untuk menaikkan siling hutang akan menyebabkan kemelesetan ekonomi yang mendalam di AS.

Ini kerana, kerajaan persekutuan akan kehabisan wang untuk membiayai perkhidmatan seperti keselamatan sosial, kesihatan dan tentera.

Ekoran itu, Janet Yellen menggesa supaya Kongres melaksanakan tugasnya, kerana jika gagal AS akan mengalami malapetaka terhadap ekonomi dan kewangan.

Dalam konteks ini, Kongres bertanggungjawab untuk menetapkan had hutang, tetapi disebabkan pertelagahan antara Republikan dan Demokrat, ia berdepan kesukaran.

Republikan menetapkan syarat untuk pemotongan perbelanjaan kerajaan sebagai sokongannya untuk menaikkan siling hutang, tetapi Demokrat tidak bersetuju kerana ia akan menjejaskan kepentingan parti pimpinan Presiden Joe Biden itu.

Kegagalan ini telah mencetuskan risiko untuk Amerika menghadapi ‘default’, yang dibimbangi akan menjejaskan ekonomi secara keseluruhan.

Pada hari Selasa, Presiden Biden akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Republikan untuk meminta mereka bersetuju menaikkan had semasa yang kini berjumlah $31.4 trilion.

Jika Kongres gagal bertindak sebelum Jun, Biden mempunyai pilihan lain untuk mengelak krisis dengan menggunakan Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS untuk memastikan AS boleh terus membayar bilnya.

Namun, Presiden itu setakat ini mengatakan beliau masih belum bersedia untuk menggunakannya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat