Kepentingan Dalam Lebuhraya Bertol Indonesia Pula Akan Dijual Khazanah!

302

Selepas penjualan pegangan saham Pusat Perubatan Prince Court kepada IHH Healthcare Bhd pada Selasa, seluruh kepentingannya dalam lebuhraya bertol terpanjang di Indonesia iaitu Cikopo-Palimanan (Cipali) pula akan dijual oleh Khazanah Nasional Bhd kepada Canada Pension Plan Investment Board (CPPIB).

Lebuhraya bertol Cipali merupakan lebuhraya bertol terpanjang yang beroperasi di Indonesia iaitu sepanjang 117 kilometer dan merupakan hubungan penting dalam rangkaian pengangkutan di Pulau Jawa dan sebahagian daripada Lebuhraya Bertol Trans Jawa.

Sebanyak 55% dalam PT Lintas Marga Sedaya (LMS), pemegang konsesi dan pengendali jalan bertol tersebut kini dipegang oleh PLUS Expressways International Bhd, anak syarikat UEM Group yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah.

CPPIB dan rakan kongsinya PT Baskhara Utama Sedaya (BUS) akan mengambil alih seluruh kepentingan dalam LMS namun tiada keterangan lebih lanjut mengenai harga pengambilalihan itu.

Jumaat lepas, memetik kepada laporan daripada Bloomberg bahawa Khazanah ada menerima tawaran kira-kira $500 juta untuk menjual pemilikan kepentingannya sebagai pengendali lebuhraya bertol Cipali.

Urus niaga tersebut dijangka selesai pada suku keempat 2019, bergantung kepada terma dan syarat penutupan biasa, termasuk kelulusan pengawalseliaan, menurut CPPIB.

Pada 2006, UEM Group diberikan kontrak lebuhraya bertol Cipali tetapi pembinaan tidak bermula sehinggalah tahun 2013 berikutan syarikat berkenaan perlu melengkapkan pembelian tanah dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Projek berkenaan siap sepenuhnya pada 2015 dan menjadi konsesi lebuhraya pertama Malaysia di Indonesia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat