Kossan Rubber Diramal Terus ‘Membadai’

471

Para penganalisis menjangkakan Kossan Rubber Industries Bhd akan merekodkan pendapatan yang lebih kukuh bagi suku keempat tahun ini (4QFY20) berikutan harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi terhadap sarung tangan getah.

Keuntungan bersih bagi syarikat tersebut untuk suku ketiga tahun ini (3QFY20) melonjak sebanyak 609% kepada RM348.74 juta daripada RM49.18 juta berbanding suku sebelumnya selepas meraih jumlah dan harga jualan yang tinggi susulan lonjakan permintaan sarung tangan getah akibat pandemik Covid-19.

Menurut CGS-CIMB Research, Kossan Rubber mempunyai banyak ruang untuk meningkatkan ASP syarikat itu dalam tempoh suku-suku yang mendatang.

“Memandangkan kos bahan mentah butadiena nitril kian meningkat dan ASP Kossan Rubber turut mengekori syarikat-syarikat seumpamanya yang lain, walaupun dengan peningkatan 40-50% suku ke suku dalam 3QFY20, kami berpendapat kenaikan ASP selanjutnya tidaklah sukar.

“Kami turut berpendapat Kossan Rubber berhasrat meningkatkan ASP sebanyak 55% suku ke suku dalam unjuran 4QFY20 dan kami tidak menolak kenaikan selanjutnya daripada unjuran suku pertama 2021 dan seterusnya,” katanya dalam satu nota hari ini seperti dipetik oleh Bernama.

Firma penyelidikan itu juga berkata kapasiti Kossan Rubber telah dimanfaatkan sepenuhnya sehingga unjuran akhir kalendar tahun 2021, dengan kumpulan itu telah menerima tempahan untuk suku pertama 2022, disokong oleh permintaan menggalakkan untuk sarung tangan seluruh dunia.

CGS-CIMB telah menyemak secara menaik pendapatan sesaham untuk Kossan Rubber bagi tahun kewangan 2020-2022 sebanyak 58-141% serta mengekalkan saranan ‘add’ dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi iaitu RM9.16.

“Kami berpihak kepada Kossan Rubber kerana prospek pendapatannya yang kukuh dan ia berpeluang mendapat manfaat daripada penawaran menggalakkan dalam sektor sarung tangan berikutan Covid-19,” katanya.

Kossan Rubber berhasrat menambah kapasiti pengeluaran sarung tangan sebanyak 32.8% kepada 42.5 bilion keping setahun menjelang akhir 2022.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat