Pasaran saham Asia terima tamparan hebat dengan saham Filipina mencatatkan rekod paling teruk pada Isnin berikutan kebimbangan gelombang kedua wabak Covid19 yang akan memberi kesan berisiko dan tekanan terhadap pasaran saham dan matawang.
Penyusutan indeks saham Filipina hampir 4% dan menghampiri paras yang terburuk sejak pertengahan April setelah negara itu kembali beroperasi berikutan pasaran saham ekonomi global yang tidak menentu.
Hanya pada hujung minggu, Filipina mencatatkan ratusan kes coronavirus terbaru sejak beberapa hari perintah berkurung diringankan. Perkara yang sama berlaku di China apabila dua hari berturut-turut menerima kes terbaru, menimbulkan kebimbangan gelombang kedua walaupun pasaran saham di daerah utama tidak terjejas.
Saham US yang berakhir pada Jumaat menandakan minggu terburuk sejak Mac setelah Federal Reserve (Fed) menjangkakan pemulihan ekonomi dalam tempoh masa yang lebih panjang malah peningkatan kes jangkitan di Amerika Syarikat (AS) akan memberi kesan kepada pelabur.
Saham Singapura dan Malaysia masing-masing susut lebih daripada 1%. Manakala bagi matawang pula, Korea Selatan mencatatkan yang paling rugi.
Pasaran Filipina turut bimbang dengan kiriman wang ke luar negara, jumlah aliran dolar yang besar bagi ekonomi pada Mac susut 4.7% dari tahun sebelumnya. Ini menunjukkan bahawa wabak tersebut turut memberi kesan kepada rakyat Filipina yang tinggal di luar negara. Matawang peso tidak berubah setelah susut sekitar 0.1%, mengatasi US dolar.
Bloomberry Resorts Corp ketara mencatatkan penurunan saham di Filipina itu dengan penyusutan 5.57% diikuti dengan Aboitiz Equity Ventures Inc dan JG Summit Holdings Inc.
Saham Indonesia pula tidak berubah walaupun ratusan kes terbaru dilaporkan. Matawang rupiah meningkat mengatasi dolar walaupun nilai bon jatuh menjelang mesyuarat bank pusat pada Khamis, menfokuskan kepada pengurangan kadar faedah pada polisi terbaru.
Sementara itu, pengeluaran perindustrian di China tidak mencapai jangkaan, sementara jualan runcit susut tinggi dari yang dijangka, 2.8% menunjukkan tanda permintaan domestik yang sangat lemah pada bacaan data yang diterbitkan pada sesi Asia hari ini.