Pembelot! Suruh Boikot, Tapi Amerika & Eropah Sendiri Beli Barang Rusia

1,021

Ketika dunia sedang menanggung impak daripada sekatan ke atas Rusia, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat dilaporkan telah meningkatkan pembelian logam perindustrian utama dari negara itu.

Memetik kepada laporan Reuters yang menghimpunkan data Comtrade Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, import EU dan AS bagi barangan logam asas utama Rusia seperti aluminium dan nikel telah meningkat sebanyak 70% pada suku Mac hingga Jun.

Secara keseluruhan, jumlah nilai import bagi kedua-dua logam dari tempoh tersebut ialah $1.98 bilion.

Angka ini mencerminkan kesukaran negara Barat dalam menekan ekonomi Rusia yang tanpa dijangka lebih berdaya tahan dengan menyaksikan lonjakan mata wang rublenya apabila hasil minyak yang memberangsangkan telah membantu mengimbangi kesan sekatan.

Sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula pada Februari, AS dan sekutunya telah mengenakan sekatan ke atas pelbagai produk, individu dan institusi Rusia, tetapi sebahagian besar sektor logam perindustrian masih selamat.

Penganalisis melihat tindakan AS dan EU adalah disebabkan mereka telah serik dengan gangguan besar pada sektor pembinaan, auto dan tenaga yang disebabkan sekatan oleh bekas Presiden AS Donald Trump ke atas aluminium Rusia pada 2018 di mana ia ditarik balik pada tahun berikutnya.

Rusia merupakan pengeluar aluminium terbesar di dunia selepas China dan menyumbang kira-kira 6% daripada anggaran pengeluaran global.

Bagi nikel pula, Rusia menyumbang kira-kira 10% daripada keluaran global dan syarikat pengeluar utama negara Nornickel telah menghasilkan sekitar 15%-20% daripada nikel battery-grade dunia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat