PENTING: Rangkuman Jangkaan Kesan Pilihanraya Presiden US Kepada Pasaran Matawang Dunia

296

Pada hari ini 7 November 2016, sehari sebelum hari pengundian kita sudah mula menyaksikan ketaktentuan dalam pasaran. Sejurus sahaja tersebarnya berita bahawa Hillary tidak bersalah dalam skandal e-mel beliau, ia telah memberi kesan kepada pasaran terutamanya US dollar dan pasaran saham US. Perkara ini telah memberi keyakinan semula kepada pasaran.

Para pelabur terutamanya di US dalam mood berhati-hati menjelangnya pilihanraya presiden US esok. Janus Capital Group Inc mengatakan bahawa kebarangkalian bagi Clinton memenangi pilihanraya adalah 63 peratus. Dalam artikel kali ini kita akan melihat kesan kepada matawang jika Hillary atau Trump memenangi pilihanraya.

Hillary Clinton menang

Seperti yang telah kita bincangkan di dalam artikel sebelum ini, para pelabur lebih suka jika kemenangan berpihak kepada Clinton kerana polisi yang dibawa oleh beliau memberi keyakinan bahawa tidak banyak perubahan kepada polisi sedia ada. Harus diingat polisi kerajaan yang berubah memberi kesan ketakpastian dalam pasaran dan mungkin akan memberikan risiko kepada pelaburan.

Menurut Capital Economics sebuah firma yang berpangkalan di London, US dollar akan menguat berbanding matawang negara maju yang lain. Hal in adalah disebabkan kurangnya risiko ketakpastian dalam ekonomi US. Menangnya Hillary Clinton akan meningkatkan sentiment kenaikan kadar faedah US pada Disember. Bank of America pula mengatakan Dollar US akan menguat hanya jika Demokrat menguasai Kongres.

Matawang pasaran baru (emerging markets) seperti Malaysia, Indonesia akan mendapat kesan positif. Peso Mexico pula akan mendapat kesan yang paling banyak berikutan pengekalan polisi perdagangan terutamanya Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).

Menurut penganalisis di JP Morgan, Peso Mexico akan meningkat nilai sebanyak 4.3% kepada 18.25 untuk setiap dollar. Dolar Kanada juga akan meningkat sedikit berbanding USD.

Donald Trump menang

Pergerakan pasaran matawang minggu lepas adalah gambaran awal jika Trump memenangi pilihanraya ini. Dolar akan menyusut nilai berbanding matawang utama dunia yang lain. Peso Mexico akan menjadi matawang yang paling besar mencatatkan penyusutan nilai berbanding USD.

Normand penganalisis di JP Morgan menjangkakan Peso akan susut sebanyak 8 peratus dalam sehari, manakala Dolar Kanada susut 5%. Hal ini adalah berdasarkan pendirian Trump yang akan melindungi perdagangan US dari negara-negara jiran yang merupakan antara rakan dagang terbesar US. Pun begitu, selepas beberapa ketika Peso akan pulih semula dengan tindakan yang akan diambil oleh Bank Pusat Mexico untuk mempertahankan nilai Peso dari terus susut.

Matawang utama dunia yang lain akan menguat berbanding US terutamanya Yen dan Franc berikutan kerisauan China akan menjual pegangan aset US. Manakala The Fed pula akan menangguhkan pengetatan polisinya. Normand menjangkakan Yen akan menguat sebanyak 3 peratus.

Pun begitu, US dollar akan menguat semula selepas Republikan memulakan polisi pemotongan cukai korporat dan pakej rangsangan ekonomi. Kenapa USD menguat apabila Trump mengurangkan cukai korporat? Syarikat korporat di US akan menikmati keuntungan yang lebih banyak melalui pengurangan cukai, seterusnya menggalakkan pengembangan perniagaan syarikat ini yang membawa kepada pertambahan penawaran pekerjaan di dalm ekonomi.

Kemenangan Trump juga akan menaikkan mood risk aversion (mengelak risiko) yang akan memberi tekanan kepada matawang negara-negara membangun atas sebab pendirian Trump yang terlalu melindungi US melalui pengurangan import dari negara-negara ini. Selain itu, menurut agensi berita Bloomberg, seramai 370 penganalisis ekonomi berpendapat undian kepada Donald Trump adalah satu kesilapan kerana akan menyebabkan kehilangan banyak peluang pekerjaan di US disebabkan ‘bad trade deals’ (perjanjian perdagangan yang tidak baik).

HSBC Holdings PLC berpendapat bahawa tidak kira sesiapa pun yang bakal memenangi kerusi presiden, pelaburan paling tepat setakat ini ialah emas. Kebanyakan trader menyifatkan bahawa kemenangan Donald Trump lebih memihak kepada harga logam kuning. Pun begitu, Ketua Penganalisis Pasaran Logam Bernilai Tinggi, James Steel berkata bahawa harga emas boleh naik sehingga 8% walau sesiapapun yang bakal menakluk kerusi Presiden. Kedua-dua calon boleh menyokong harga logam kuning ke paras yang lebih tinggi. Emas juga dilihat sebagai pelindung nilai terhadap ketidaktentuan politik.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat