Risiko Besar Menanti Bank Global Tahun Hadapan

574

Walaupun kebanyakan sistem perbankan menghadapi krisis dengan baik selepas sedekad lembaran imbangan mengukuh, peningkatan semula kes Covid-19 baru-baru ini menekankan risiko kemerosotan ekonomi.

Situasi tidak menentu ini, dengan tanpa langkah-langkah sokongan hingga 2021, memberi risiko yang besar kepada bank, menyokong unjuran negatif Moody’s Investors Service terhadap sistem perbankan global.

“Kemungkinan krisis kewangan adalah rendah tetapi masih terdapat risiko yang besar hingga 2021, seperti yang dapat dilihat daripada hakikat bahawa lebih tiga perempat daripada 70 unjuran sistem perbankan kami termasuk semua negara-negara G-20 kecuali Kanada adalah negatif.

“Ini berbanding hanya 14% pada akhir 2019,” kata Pengarah Urusan Bersekutu Moody’s, Sophia Lee dalam kenyataan hari ini seperti dipetik oleh Bernama.

Unjuran ini secara meluas mencerminkan risiko keadaan operasi yang lemah, terutamanya dalam sektor utama seperti perhotelan dan peruncitan, akan menyebabkan prestasi pinjaman dan keuntungan merosot, dan berpotensi mengurangkan keyakinan terhadap bank, seperti yang dapat dilihat dalam krisis sebelum ini.

Dalam kalangan kumpulan ini, Itali dan India paling terdedah kepada impak ekonomi dan fiskal daripada kejutan kepada sektor kewangan.

Ujar Lee, di peringkat makro, bank menghadapi risiko akibat daripada potensi peningkatan semula kes Covid-19 dengan gangguan yang berpanjangan, akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang rendah dan peruntukan kerugian yang lebih tinggi.

Sementara itu, sokongan dasar yang berkurangan hingga 2021 boleh menyebabkan kos kredit meningkat, dan kadar faedah yang rendah untuk jangka panjang akan terus mempengaruhi keuntungan sistem perbankan.

Selain itu, beban hutang korporat yang meningkat akan menambah kepada risiko aset bank, dan apabila langkah-langkah sokongan berkurangan, kadar ingkar korporat akan meningkat.

“Covid-19 mempercepatkan proses pendigitalan bank berikutan banyak aktiviti beralih kepada dalam talian, tetapi ini juga bermakna bank kini terdedah kepada risiko serangan siber yang lebih besar dan menghadapi lebih banyak persaingan daripada fintech,” katanya.

Mengenai aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG), memandangkan lebih banyak kerajaan menetapkan sasaran untuk jejak karbon sifar bersih, ini akan meningkatkan kemungkinan langkah-langkah khusus bank, termasuk pendedahan ESG dan keperluan ujian tekanan.

Unjuran Moody’s untuk sektor perbankan global mencerminkan jangkaannya terhadap keadaan asas perniagaan untuk sektor ini dalam tempoh 12-18 bulan akan datang dan tidak mencerminkan unjurannya terhadap penerbit individu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat