Tindakan New Zealand Sokong Penyertaan Taiwan Dalam WHO Bangkitkan Kemarahan China

395

China memberi amaran kepada New Zealand bahawa tindakan negara itu menyokong penyertaan semula Taiwan dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara itu.

Jurucakap Menteri Luar China, Zhao Lihan memberitahu dalam satu sidang media bahawa New Zealand perlu berhenti membuat pernyataan yang salah, serta berusaha untuk meningkatkan kepercayaan dan kerjasama dua hala, bukannya melemahkan kepercayaan China.

Taiwan, dengan sokongan kuat daripada Amerika Syarikat, telah meningkatkan kempennya untuk menyertai mesyuarat bulanan Majlis Kesihatan Sedunia (WHA), iaitu badan pembuat keputusan WHO, sebagai pemerhati.

Taiwan sebelum ini telah dikecualikan dari WHO, berikutan dakwaan China bahawa Taiwan adalah sebagai wilayahnya yang tidak mempunyai hak perwakilan diplomatiknya sendiri di pentas global dan dalam organisasi antarabangsa.

Pada minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Winston Peters yang juga merangkap Menteri Luar Negeri, menyatakan pandangannya bahawa Taiwan perlu menyertai semula WHO.

Menurut Peters, kisah kejayaan Taiwan dalam mengendalikan krisis pandemik coronavirus telah menjadi perhatian di mata dunia dan ia perlu dikongsikan bersama. Setakat hari ini, Taiwan hanya mencatatkan 440 kes jangkitan dan 7 kematian akibat coronavirus.

Tambah Peters lagi, beliau tidak menyangka masalah ini akan menjejaskan hubungan diplomatiknya dengan China, yang juga merupakan salah satu rakan dagang terbesar di New Zealand.

Terdahulu, Australia yang merupakan rakan dagang terbesar China telah berdepan dengan ancaman pengenaan tarif ke atas import barli dan 4 kilang pemprosesan daging telah disenaraihitamkan oleh Beijing.

Hal ini pada mulanya dilihat sebagai tindak balas kepada tindakan Australia yang menyokong siasatan ke atas China berhubung isu COVID19, namun ia kemudiannya dinafikan oleh Beijing yang menyatakan ia adalah disebabkan firma terbabit telah melanggar syarat pemeriksaan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat