Top Glove Diiktiraf Oleh Dow Jones Sustainability Indices Lagi

171

Top Glove memang ‘Top’ sekarang ini.

Top Glove Corp Bhd telah dimasukkan dalam Dow Jones Sustainability Indices (DJSI) dibawah kategori pasaran pesat membangun untuk tahun ketiga berturut-turut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut, ia menduduki antara 10% teratas dunia dalam kategori peralatan dan bekalan penjagaan kesihatan dalam S&P Global Corporate Sustainability Assessment pada 12 November lalu.

Ini merupakan peningkatan memberangsangkan dari pencapaian tahun lalu dimana ia menduduki antara 19% teratas.

Secara tidak langsung, ini menyaksikan Top Glove menyertai Petronas Chemicals Group Bhd dan MISC Bhd sebagai syarikat dari Malaysia dalam indeks 2021 tersebut.

Top Glove merupakan satu-satunya syarikat pembuatan kesihatan Malaysia dan salah satu dari tiga syarikat industri penjagaan kesihatan yang pernah dimasukan dalam DJSI tahun ini di bawah kategori pasaran baru muncul.

DJSI dikendalikan oleh agensi penarafan S&P Global yang mana menilai syarikat di seluruh dunia dari segi kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Dalam pada itu, laporan tahunan Top Glove yang dikeluarkan baru-baru ini bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2021 (FY21) telah menggariskan usaha mereka untuk meningkatkan inisiatif ESG dengan sasaran interim yang akan dicapai menjelang FY25 ketika syarikat sedang berusaha untuk ke arah road map sifar karbon.

Laporan tersebut turut memperincikan mengenai usaha mereka untuk mencapai pelepasan sifar karbon di loji rawatan airnya menjelang FY22 dan di premis pejabat serta gudangnya menjelang FY25.

Selain itu, syarikat itu pada FY21 telah mengukuhkan kedudukannya sebagai majikan pilihan kepada 22,000 orang pekerja dengan mengetatkan dasar pengambilan sifar kos bagi pekerja asing dan telah melabur RM220 juta dalam menambah baik penginapan bagi 13,000 pekerja asingnya serta mengukuhkan saluran rungutan pekerjanya.

Seterusnya, syarikat itu telah menyumbang RM2.2 bilion dalam cukai pendapatan bagi pembinaan negara dan menggalakan pertumbuhan ekonomi yang mampan selain turut menyediakan bantuan bernilai RM191 juta peralatan perlindungan diri dan peranti perubatan dalam menyokong komuniti dan petugas barisan hadapan semasa pandemik Covid-19.

Di samping itu, syarikat itu turut menambah baik amalan tadbir urusnya dengan mempunyai lembaga pengarah yang pelbagai dengan 42% ahlinya wanita, dan mengehadkan tempoh jawatan pengarah bebas kepada sembilan tahun tanpa sebarang lanjutan lanjut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat