Zamsaham Ambil Alih Syarikat Bihun Cina

42,997

Usahawan terkemuka, Norizam Tukiman mendesak agar Eka Noodles Bhd mengumumkan beliau sebagai pemegang saham terbesar syarikat berkenaan dengan segera.

Menurut Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, beliau bersama-sama beberapa rakannya telah memiliki lebih 30% saham dalam syarikat berkenaan.

Sehingga kini, masih belum ada sebarang pengumuman yang dibuat oleh Eka Noodles Bhd.

“Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Setakat ini, mereka masih menjalankan siasatan berhubung situasi ini. Paling penting, saya mahu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan kerana saya yakin kami ada majoriti, cuma tiada kuasa eksekutif,” ujarnya sewaktu dihubungi oleh pihak INTRADAY semalam.

Tambah Zamsaham, syarikat itu mempunyai tempoh masa sehingga 29 Jun untuk mengumumkan beliau sebagai pemegang saham terbesar.

“Jika syarikat itu tidak membuat sebarang pengumuman mengikut tempoh masa yang diberikan, saya akan merujuk kepada peguam untuk tindakan undang-undang yang selanjutnya dan akan mengadakan EGM dengan sendirinya,” jelas beliau.

Zamsaham yang juga pemilik Kelantan FC dan Zamburger dilaporkan telah membeli 100 juta saham ketika harga saham syarikat itu menjunam di pasaran terbuka baru-baru ini.

Tegas Zamsaham, usahanya untuk mengambil alih Eka Noodles Bhd bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya mahu memastikan produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan adalah dimiliki sepenuhnya oleh kaum Bumiputera.

“Sewaktu Kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) baru-baru ini, saya lihat ada produk seperti bihun menggunakan logo masjid, nama ‘orang Melayu’ dan mempunyai tulisan Jawi.

“Bermula dari situ, membuatkan saya mahu mengambil alih Eka Noodles Bhd.

“Syarikat itu menggunakan pekerja dan pengarah Bumiputera tetapi pemiliknya adalah golongan Cina. Itu tidak betul, saya mahu memastikan bisnesnya adalah betul-betul dimiliki oleh orang Melayu dan sah dari segi penggunaan logo halal serta dijamin bersih,” katanya.

Kelmarin, Bernama melaporkan, dagangan saham Eka Noodles Bhd digantung bermula 31 Mei selepas bursa tempatan itu menolak permohonannya untuk melanjutkan masa bagi mengemukakan cadangan pelan penyusunan yang disemak semula.

Dalam makluman minggu lepas, Eka Noodles Bhd berkata, Bursa Securities berpendapat syarikat tidak menunjukkan tanda berpuas hati mengenai sebarang perkembangan berhubung penyerahan pelan penyusunan semula kepada pihak berkuasa pengawalseliaan.

Susulan penggantungan itu, Eka Noodles Bhd akan dinyahsenarai pada 2 Jun kecuali terdapat rayuan terhadap penyahsenaraian itu dikemukakan sebelum 28 Mei.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat