Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas terus mengukuh apabila XAU/USD melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh seminggu melepasi $4,700 di tengah-tengah potensi kelegaan konflik di Selat Hormuz.
Setakat jam 10 pagi tadi, harga emas didagangkan pada paras $4,704 per auns iaitu pulih kira-kira 0.30% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Kenaikan harga emas didorong oleh sentimen positif pasaran selepas laporan menyatakan Amerika Syarikat dan Iran sedang membincangkan cadangan baharu untuk menamatkan konflik perang yang memberi tekanan kepada pasaran tenaga global.
Menurut laporan Bloomberg, Donald Trump percaya perang tersebut mempunyai peluang besar untuk berakhir dan berkemungkinan mencapai perkembangan positif sebelum lawatannya ke Beijing minggu depan.
Harapan terhadap penyelesaian konflik itu membantu meredakan kebimbangan inflasi global susulan kenaikan harga tenaga sebelum ini. Situasi tersebut turut meningkatkan jangkaan bahawa Fed mungkin lebih cenderung untuk menurunkan kadar faedah berbanding mengekalkan dasar monetari ketat dalam tempoh panjang.
Penurunan kadar faedah lazimnya memberi sokongan lonjakan buat aset selamat seperti emas.
Penganalisis pasaran meletakkan keyakinan tinggi terhadap potensi perjanjian damai AS-Iran telah memberikan sedikit kelegaan jangka pendek kepada pasaran emas.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa pasaran masih sensitif terhadap perkembangan geopolitik di Timur Tengah dan harga emas boleh berubah pantas bergantung kepada tajuk utama berkaitan konflik tersebut.
























































