Mahkamah China menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun ke atas seorang warga Kanada, Michael Spavor pada hari Rabu dalam satu kes pengintipan yang dikaitkan dengan kempen tekanan Beijing terhadap Kanada berhubung penangkapan seorang eksekutif syarikat gergasi teknologi Huawei.
Keputusan itu dilihat akan menguji ketegangan hubungan antara dua negara, yang mana Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengatakan hukuman tersebut tidak dapat diterima sama sekali.
Beliau juga mendakwa keputusan itu tidak adil kerana ia menunjukkan kurangnya ketelusan dalam proses undang-undang, dan perbincangan yang tidak memenuhi standard minimum diperlukan oleh undang-undang antarabangsa.
Kedutaan Amerika Syarikat di Beijing juga mengecam hukuman tersebut dalam satu kenyataan, dengan mengatakan bahawa prosiding terhadap Spavour dan seorang lagi Kanada yang dituduh melakukan pengintipan adalah usaha untuk ‘menggunakan manusia sebagai alat tawar menawar’.
Spavor pertama kali ditangkap pada tahun 2018, hanya beberapa hari selepas ketua pegawai kewangan Huawei, Meng Wanzhou ditahan, dan kemudiannya dituduh melakukan pengintipan.
Meng Wanzhou yang ditangkap di Vancouver atas tuduhan oleh Amerika Syarikat yang mendakwa beliau berbohong kepada pihak bank HSBC Hong Kong mengenai kemungkinan transaksi dengan Iran yang melanggar sekatan perdagangan.
Mahkamah Kanada akan mendengar hujah terakhir dalam beberapa minggu akan datang dan menetapkan sama ada akan menyerahkan Meng Wanzhou untuk menghadapi tuduhan jenayah AS.