Anwar Ibrahim Bakal Gantikan Tun M?

1,228

Kegawatan politik yang berlaku semakin menjadi perhatian ramai termasuk di peringkat antarabangsa. Lebih mengejutkan apabila Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan perletakan jawatannya. Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia mula mempersoalkan tindakan beliau dan menzahirkan rasa tidak puas hati dengan keadaan politik semasa bahkan merasa tertipu.

Hingga kini, ramai yang tertanya-tanya siapakah yang bakal menggantikan Tun M dan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-8.

Semalam, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) telah sepakat mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH). Menurut sebuah kenyataan Majlis Presiden PH, gabungan tersebut menyatakan bahawa mereka telah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan mandat yang diberikan oleh rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 sejak pergolakan politik bermula pada Ahad lalu.

Seterusnya, pakatan tersebut mendakwa bahawa mereka akan menentang sebarang usaha yang dibuat untuk membentuk kerajaan pintu belakang sebagai percubaan menggulingkan kerajaan PH.

Berikutan dengan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta parti berkenaan yang bertindak meninggalkan gabungan PH pada Isnin lalu, Majlis Presiden PH mendakwa bahawa mereka telah menjemput bekas perdana menteri itu untuk mempengerusikan mesyuarat pada keesokan harinya.

Malangnya, Tun M enggan menghadiri mesyuarat tersebut. Oleh yang demikian, Majlis Presiden telah mencapai kata sepakat bahawa Anwar Ibrahim akan menjadi calon mereka sebagai Perdana Menteri.

Tambahan daripada itu, Pakatan Harapan mendedahkan bahawa mereka tidak akan mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan terus komited untuk memacu negara ke arah yang lebih baik dari segi ekonomi, politik dan sosial.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat