Harga minyak jatuh dari paras ketinggian 2 bulan pada awal perdagangan sesi Asia ketika kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 mengimbangi harapan pasaran terhadap vaksin.
Minyak mentah Brent turun 23 sen kepada $44.10 setong selepas meningkat ke paras ketinggian 2 bulan pada sesi New York selepas Pfizer mengumumkan satu lagi perkembangan positif mengenai vaksin Covid-19.
WTI Amerika Syarikat pula didagangkan susut 35 sen kepada $41.66 setong setelah meraih keuntungan hampir 1% pada sesi dagangan sebelum ini.
Terbaru, Pfizer mengumumkan vaksin yang diusahakan bersama BioNTech mempunyai keberkesanan sebanyak 95% berbanding 90% yang diumumkan sebelum ini dalam ujian yang dijalankan. Ini melebihi keberkesanan 94.5% yang dilaporkan oleh Moderna Inc pada hari Isnin.
Bagaimanapun, keuntungan yang diperoleh tidak kekal lama kerana jumlah kes coronavirus di seluruh dunia yang terus meningkat telah menambah kebimbangan pasaran terhadap permintaan minyak.
Namun begitu, jika dilihat dari segi trend pergerakan pasaran pada minggu ini, dagangan komoditi itu mempamerkan peningkatan lebih tinggi sejak berita mengenai vaksin diumumkan.
Pasaran kini menantikan keputusan OPEC+ sama ada kumpulan itu akan melanjutkan komitmen pengurangan pengeluaran minyak mentah pada Januari 2021.