Lazada Sedia Terima Pelaksanaan Cukai Digital Yang Dikenakan Kepada Penyedia Perkhidmatan Digital Asing

349

Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Kevin Lee menyatakan penerimaan Lazada Malaysia dalam pelaksanaan cukai digital dan kini sedang berganding bahu dengan kerajaan mengenai perkara tersebut.

Menurut beliau, sebagai peneraju e-dagang di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara, ia merupakan tanggungjawab mereka untuk membawa perubahan kepada dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan malah mengharapkan lebih banyak dorongan daripada kerajaan terhadap perniagaan dalam platform e-dagang.

Cukai digital merupakan cukai yang dikenakan terhadap mana-mana orang di luar Malaysia yang mengendalikan platform dalam talian bagi membeli dan menjual barangan atau menyediakan perkhidmatan, di bawah cadangan pindaan Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Pelaksanaan cukai digital adalah sebanyak 6% dikenakan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020 dan antara yang termasuk dalam pelaksanaan cukai itu adalah perkhidmatan dalam talian diimport, termasuk perisian, muzik, video dan pengiklanan digital.

Penyedia perkhidmatan digital asing seperti Spotify, Netflix Inc dan Amazon adalah antara yang akan dikenakan cukai digital dan melalui pelaksanaan ini dilihat akan memberi persaingan lebih adil kerana setakat ini hanya penyedia perkhidmatan digital tempatan yang dikenakan cukai perkhidmatan iaitu di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Bagi memudahkan kutipan cukai tersebut, kerajaan menggesa semua penyedia perkhidmatan digital asing untuk mendaftar bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2019 dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Cukai digital diluluskan oleh Dewan Rakyat pada April lalu di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat