Amazon Beli ‘Studio’ James Bond

321

Amazon dilaporkan bersetuju untuk membeli studio penerbitan filem, MGM dengan nilai sebanyak AS$8.45 bilion.

MGM merupakan salah satu studio paling popular di Hollywood dan pernah menerbitkan beberapa filem klasik seperti Some Like It Hot dan Singin’ In The Rain.

Pembelian itu akan memberikan perkhidmatan penstriman milik Amazon iaitu Prime, akses kepada katalog kandungan filem yang besar.

“Ini satu perkara yang mengujakan dan memberikan banyak peluang untuk penceritaan berkualiti tinggi,” kata Naib Presiden Kanan Prime Video dan Amazon Studios, Mike Hopkins.

Tambah Hopkins, nilai kewangan yang sebenar di sebalik perjanjian ini adalah khazanah Intellectual Property yang pihaknya rancang untuk dibangunkan bersama-sama pasukan berbakat MGM.

Perjanjian terbabit akan meningkatkan penawaran Amazon Prime Video sekitar 4,000 filem termasuk francais James Bond dan Legally Blonde serta 17,000 rancangan televisyen seperti Handmaid’s Tale.

MGM Holdings, syarikat induk MGM Studios, dilaporkan telah mencari jalan untuk menjual studio berkenaan sejak tahun lalu.

Perjanjian Amazon-MGM itu diumumkan selang beberapa minggu syarikat telekomunikasi, AT&T bersetuju menggabungkan unit WarnerMedia dengan Discovery dalam satu perjanjian bernilai AS$43 bilion untuk menubuhkan platform penstriman gergasi yang baharu.

Pengambilalihan MGM adalah perjanjian kedua terbesar Amazon selepas syarikat itu membeli rangkaian peruncitan, Whole Foods Market bernilai AS$13.7 bilion pada 2017.

Menurut laporan majalah Variety memetik penerbit di sebalik pembikinan James Bond, perjanjian itu bagaimanapun tidak menjejaskan tarikh tayangan filem terbaharu francais berkenaan iaitu No Time to Die di pawagam.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat