Komen Pengerusi Fed Menahan Pergerakan Ekuiti & Hasil Perbendaharaan AS

157

Sentimen pasaran yang bertukar risk-off selepas komen Pengerusi Federal Reserve (Fed) telah membuatkan pasaran ekuiti dan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) ditutup lemah.

Menyingkap ucapan Jerome Powell, beliau mengesahkan bahawa langkah kenaikan kadar agresif yang diambil bank pusat tersebut akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi namun kebimbangan terbesarnya adalah inflasi yang berterusan.

Perkara ini secara tidak langsung mencetus sentimen negatif dalam kalangan pelabur terhadap prospek pertumbuhan ekonomi.

Indeks utama Wall Street seperti Dow Jones Industrial naik 82.32 mata (0.27%) pada 31,029.31 namun S&P 500 hilang 2.72 mata (0.07%) pada 3,818.83 dan Nasdaq Composite turun 3.65% (0.03%) pada 11,177.89.

Berdasarkan rekod tersebut, penanda aras S&P dilihat bakal mencatat penurunan peratusan separuh pertama terbesarnya sejak 1970.

Beralih ke ekuiti Eropah, indeks STOXX 600 susut 0.67% dan tolok MSCI saham seluruh dunia jatuh 0.53%.

Selain itu, hasil Perbendaharaan turut melemah dengan kebimbangan inflasi mencengkam sentimen pelabur.

Nota hasil Perbendaharaan 10 tahun susut 10.5 mata asas pada 3.102% sementara hasil 2 tahun jatuh 6.5 mata asas pada 3.059%.

Ringkasan mata wang memperlihatkan dolar mengukuh dengan pelabur mencari aset selamat apabila indeksnya naik 0.593% dan Euro raih 0.02% pada $1.0441.

Bagi komoditi, kegusaran terhadap pertumbuhan ekonomi yang membayangi kebimbangan bekalan selain peningkatan inventori petrol AS dan penyulingan telah menolak jatuh harga minyak.

Rentetan itu, niaga hadapan Brent jatuh $1.72 pada $116.26 manakala minyak mentah WTI turun $1.98 pada $109.78.

Spot emas juga mempamerkan kejatuhan 0.1% pada $1,818.13 per auns sementara aset digital Bitcoin (BTC) gugur 0.21% pada $20,218.24.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat