Penggabungan RTM & BERNAMA – Kajian Sedang Dijalankan Kerajaan

398

Penggabungan dua agensi di bawah kerajaan RTM dan Bernama bukan lagi rahsia dengan kajian menyeluruh sedang dijalankan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia sejak beberapa bulan yang lalu.

Gabungan antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah perlu dalam era digital hari ini, demikian kata Timbalan Menteri Multimedia dan Komunikasi, Eddin Syazlee Shith pada bulan Jun yang lalu.

Ia adalah cadangan yang tertangguh termasuk perancangan untuk transformasi RTM kepada pendigitalan menyeluruh.

“Kementerian akan meneruskan visi dan misi kerajaan terdahulu, dan kita akan membuat penambahbaikan dan perubahan berdasarkan keperluan semasa, khususnya dalam mendepani cabaran dalam era digital.

“Terdapat beberapa perancangan inovasi dalam era digital yang telah ditangguhkan, jadi kami sedang berusaha ke arah ini. Contohnya, penggabungan RTM dan Bernama – walaupun ia masih dalam fasa kajian, saya rasa ia adalah tindakan terbaik untuk rakyat dan masyarakat.”

Walaubagaimanapun, masih terlalu awal untuk memutuskan perubahan oleh kerajaan kerana kajian masih lagi berjalan.

Gobind Singh pula yakin langkah penggabungan ini akan meningkatkan produktiviti dalam penyebaran maklumat kepada rakyat. Dalam masa yang sama beliau menyatakan RTM masih relevan sehingga ke hari ini kerana sesetengah rakyat Malaysia tidak mampu menikmati rancangan Astro.

“Jika penggabungan ini menjadi kenyataan, berkemungkinan sektor berita akan disumberkan kepada Bernama dan jika ini dapat dilakukan, kerajaan dapat mengurangkan kos di RTM dan ini bermaksud kerajaan akan dapat mengumpul dana tambahan bagi dibelanjakan untuk tujuan kandungan,” demikian kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, kementeriannya juga tidak merancang untuk menjual saluran televisyen Bernama News Channel (BNC) walaupun terdapat cubaan kerajaan terdahulu untuk menswastakannya.

Untuk pengetahuan anda, kerajaan telah menjalankan projek Media City dengan kos pembinaan sebanyak RM860 juta yang dijalankan berhampiran Angkasapuri berjalan dengan lancar dan RTM dijangka berpindah ke kemudahan terbaharu itu pada April tahun depan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat