Bagaimana Bajet Kerajaan Boleh Meningkatkan Ekonomi

216

Menjelang Bajet 2017 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri petang ini, tentu rakyat Malaysia tertanya-tanya, “Apakah intipati bajet kali inI?”. Adakah bajet kali ini akan memberi manfaat kepada kita secara individu? Mari kita perhalusi kepentingan bajet kerajaan kepada rakyat Malaysia.

Perbelanjaan negara merupakan salah satu komponen pertumbuhan ekonomi selain pelaburan, perbelanjaan konsumer dan eksport. Malah, perbelanjaan kerajaan ini adalah aspek terpenting bagi pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang terutama sekali projek-projek pembinaan infrastruktur.

Perlu ditegaskan di sini bahawa kegagalan projek-projek pembangunan yang dibiayai oleh kerajaan akan merugikan banyak walaupun sektor tersebut merupakan sektor yang produktif.

Projek infrastruktur selalunya mengambil masa yang lama untuk disiapkan dan harus ada check and balance. Oleh itu, perancangan yang rapi harus dibuat sebelum memulakan satu-satu projek dengan mendapatkan nasihat tenaga pakar dan professional untuk menentukan projek yang lebih memberikan manfaat kepada rakyat.

Kedua, perlu ada pemantauan yang rapi dari jawatankuasa yang telah dilantik, melibatkan golongan professional agar setiap projek terlaksana dengan jayanya. Selain itu, perlu ada penguatkuasaan perundangan yang tegas agar peruntukan yang telah disalurkan digunakan hanya untuk kepentingan rakyat. Sebagai contoh kes rasuah yang melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah baru-baru ini yang melibatkan ratusan juta ringgit hanyalah satu pembaziran perbelanjaan kerajaan. Difahamkan, masih banyak kawasan di Sabah yang masih belum mendapat bekalan air bersih sejak bertahun-tahun lamanya.

Perkara terpenting adalah, perbelanjaan kerajaan adalah hasil dari pendapatan kerajaan. Pendapatan kerajaan banyak bergantung daripada dividen Petronas. Dengan kejatuhan harga minyak sejak 2 tahun kebelakangan ini sudah tentu dividen yang diterima oleh kerajaan juga berkurangan. Dijangkakan bajet 2017 akan berkurangan oleh sebab ini dan diharapkan ia tidak terjadi, kerana ia mampu memperlahankan pertumbuhan ekonomi dalam suasana kelembapan ekonomi global.

Dalam keadaan kelembapan ekonomi sekarang, kerajaan perlu meningkatkan rangsangan ekonomi dengan penambahan bajet untuk tujuan pembangunan ekonomi. Selain itu, menurut penganalisis ekonomi Bank UOB, Julia Goh langkah pemotongan cukai GST dilihat mampu meningkatkan ekonomi dari kelembapan. Secara teori, pemotongan GST akan menambahkan keuntungan sektor swasta dan secara tidak langsung keuntungan sektor swasta ini akan dipindahkan kepada rakyat Malaysia dengan penambahan penawaran kerja dari sektor swasta.

Kerajaan perlu sentiasa mengubah struktur perbelanjaannya terhadap sektor-sektor tertentu bergantung kepada keadaaan ekonomi semasa. Sekiranya arus kegawatan ekonomi melanda negara, maka tentu sekali kerajaan perlu menambah perbelanjaan kepada sektor-sektor yang lebih signifikan.

Kesimpulannya, perbelanjaan kerajaan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial adalah sangat penting. Namun, struktur bagi perbelanjaan kerajaan ini haruslah diteliti secara mendalam mengikut keadaan ekonomi semasa agar negara tidak terjerumus dalam kemelesetan ekonomi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat